fbpx
Nasional

Selayang Baru, Gombak dikenakan PKPD sehingga 3 Mei

KERAJAAN memutuskan untuk meletakkan kawasan Selayang Baru, Gombak di Selangor dalam status Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai hari ini sehingga 3 Mei ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan untuk melaksana arahan PKPD ketujuh itu dibuat atas nasihat Menteri Kesihatan, melibatkan enam parcel yang dikenal pasti seperti berikut:

Zon A        : Jalan Indah 3 dan Jalan Indah 5A, Selayang Indah, Gombak, Selangor

Zon B        : Jalan Indah 21, Lembah Indah, Selayang Baru, Gombak, Selangor

Zon C        : Jalan Besar Selayang Baru, Jalan 1 dan Jalan Indah 21, Selayang Baru, Gombak, Selangor


Zon D        : Jalan 3, 5, 7 dan 9, Selayang Baru, Gombak, Selangor

Zon E        : Jalan 2, 4, 6 dan 8, Selayang Baru, Gombak, Selangor

Zon F         : Blok A, B dan C, Selayang Makmur, Gombak, Selangor

 

“Arahan PKPD ketujuh itu dilaksanakan untuk membendung jangkitan COVID-19 setelah mengambil kira kebarangkalian jalinan jangkitan COVID-19 di Pasar Harian Kuala Lumpur dan Pasar Borong Kuala Lumpur,” katanya pada sidang media harian mengenai PKP di sini, hari ini.

Tegasnya, langkah itu akan membolehkan aktiviti pengesanan dilaksana sepanjang tempoh itu berkuat kuasa dan semua penghuni diminta untuk bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa.

Ismail Sabri berkata beliau juga telah dimaklumkan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun bahawa bantuan bekalan makanan diagihkan secara teratur di kawasan PKPD berkenaan pagi ini.

“Bantuan keperluan makanan asas mula diagihkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan dibantu petugas agensi-agensi berkaitan.

“Penghuni yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi Talian Bencana Daerah Gombak 03-6120 1092, 03-6126 1500 atau Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-6126 2247, 03-6126 2240,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan memutuskan untuk meletakkan Pusat Bandar Utara dan kawasan sekitar Pasar Borong Selayang, di Kuala Lumpur, dalam status PKPD mulai 20 April ini sehingga 3 Mei hadapan.

PKPD turut dilaksanakan di lima kawasan berikut sehingga 28 April ini melibatkan:

  1. Kampung Dato Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato Ibrahim Majid, Simpang Renggam, Johor
  2. Kampung Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor
  3. Menara City One, Kuala Lumpur.
  4. Bangunan Selangor Mansion dan Malayan Mansion, Kuala Lumpur
  5. Masjid India di Kuala Lumpur dan sekitarnya merangkumi Jalan Munshi Abdullah, Jalan Dang Wangi, Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Tun Perak, Jalan Melaka dan Jalan Ampang – BERNAMA

 

 

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button