
Selangor nyata sokongan terbuka kepada Nurul Izzah bertanding Timbalan Presiden PKR
KENYATAAN MEDIA
SOKONGAN TERBUKA KEADILAN NEGERI SELANGOR TERHADAP NURUL IZZAH ANWAR SEBAGAI CALON TIMBALAN PRESIDEN PARTI KEADILAN RAKYAT
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) tidak lahir dalam suasana yang mudah. Ia tidak dibina atas pangkat atau jawatan, tetapi atas gelombang perjuangan rakyat demi menentang kezaliman, menuntut keadilan, dan mengangkat suara mereka yang tertindas.
Dalam perjuangan ini, kita menyaksikan ramai yang datang dan pergi. Namun yang kekal terus istiqamah sejak hari pertama adalah benar-benar percaya kepada semangat reformasi. Dan Nurul Izzah Anwar adalah antara wajah utama perjuangan itu.
Hari ini, ketika negara memasuki fasa yang semakin mencabar dari segi politik, ekonomi dan sosial, KEADILAN mesti dipimpin oleh barisan kepimpinan yang bukan sahaja memahami akar sejarah parti, tetapi juga mempunyai halatuju yang jelas, mampu menguatkan struktur dalaman parti, dan menyatukan suara anggota dari bawah ke atas.
Sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Selangor, saya menyatakan sokongan terbuka bersama rakan-rakan pimpinan dari seluruh cabang di negeri ini terhadap pencalonan Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden KEADILAN.
Kita tidak hanya perlukan pemimpin yang mahir berpidato atau memenangi kerusi. Kita perlukan pemimpin yang faham denyut nadi anggota, bersedia mendengar akar umbi dan tahu meletakkan parti mengatasi kepentingan peribadi.
Parti ini perlu seorang Timbalan Presiden yang tidak terikat dalam pentadbiran kerajaan, tetapi boleh memberi fokus kepada mengukuhkan kekuatan dalaman parti. Kita perlukan sosok yang boleh memberi sepenuh tenaga untuk mempersiapkan KEADILAN menghadapi PRU akan datang dengan strategi kukuh, struktur tersusun dan semangat anggota yang segar.
Nurul Izzah bukan orang baru. Beliau telah berjuang sejak muda, menjadi suara anak muda dalam zaman penuh getir, ditahan, dihina, namun tidak pernah meninggalkan medan perjuangan. Beliau membina nama bukan kerana nama keluarganya, tetapi kerana keteguhan prinsip dan keberanian berdiri untuk kebenaran.
Beliau juga telah membuktikan kredibilitinya dalam dua penggal sebagai Ahli Parlimen, sebagai Naib Presiden parti, serta sebagai pemikir dasar yang komited. Dalam dan luar negara mengiktiraf ketokohan beliau, tetapi yang paling utama anggota parti tahu siapa beliau, dan tahu apa yang telah beliau korbankan untuk KEADILAN.
Kita perlukan kepimpinan yang bersedia ‘toe the line’ bersama anggota, yang faham denyut nadi parti dan yang tidak meletakkan diri di atas, tetapi di sisi perjuangan rakyat.
Pencalonan ini bukan soal mewarisi nama, tetapi soal membina semula semangat. Ia tentang harapan baharu. Tentang menyatukan idealisme reformasi dengan realiti politik masa kini. Tentang menyambung api perjuangan dengan keikhlasan dan tanggungjawab.
Saya yakin, dengan Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden, kita dapat menyusun semula barisan yang kuat, menyemai semula kepercayaan rakyat, dan memastikan KEADILAN kekal relevan, progresif dan berwibawa.
Kepimpinan Presiden memerlukan gandingan yang mantap dan Nurul Izzah mampu menjadi rakan setia, penasihat jujur dan tenaga penggerak yang berani menyatakan kebenaran demi parti.
Dengan penuh rasa tanggungjawab, kami berdiri teguh bersama Nurul Izzah. Semoga pencalonan ini menjadi permulaan kepada babak baharu perjuangan KEADILAN yang lebih bersatu, matang dan membina.
REFORMASI!
*YAB DATO’ SERI AMIRUDIN SHARI*
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Selangor
Ketua Cabang KEADILAN Gombak
*YB DATUK BORHAN AMAN SHAH*
Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Selangor
Ketua Cabang KEADILAN Sepang
*HEE LOY SIAN*
Naib Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Selangor
Ketua Cabang KEADILAN Petaling Jaya
*YB MOHD NAJWAN HALIMI*
Ketua Cabang KEADILAN Shah Alam
*TUAN AHMAD MUSTAIN BIN OTHMAN*
Ketua Cabang KEADILAN Sabak Bernam
*AZHAR BIN ACHIL*
Ketua Cabang KEADILAN Sungai Besar
*DR SATHIA PRAKASH A/L NADARAJAN*
Ketua Cabang Keadilan Hulu Selangor
*SIVABALAN A/L MUGUTHAN*
Ketua Cabang KEADILAN Kuala Selangor
*YB SYED AHMAD BIN ABDUL RAHMAN ALHADAD*
Ketua Cabang KEADILAN Ampang
*RAJENDRA KUMAR A/L MUNUSAMY*
Ketua Cabang KEADILAN Hulu Langat
*LIM KIM ENG*
Ketua Cabang KEADILAN Bangi
*ZAIHASRI BIN JAAFAR*
Ketua Cabang KEADILAN Puchong
*M. PRAVIN*
Ketua Cabang KEADILAN Subang
*ELIZABETH WONG KEAT PING*
Ketua Cabang KEADILAN Damansara
*YB DATO’ RAMANAN A/L RAMAKRISHNAN*
Ketua Cabang KEADILAN Sungai Buloh
*DATO SERI AZIZI BIN AYOB*
Ketua Cabang KEADILAN Kapar
*YB AZMIZAM BIN ZAMAN HURI*
Ketua Cabang KEADILAN Klang
*YB G. GUNARAJAH*
Ketua Cabang KEADILAN Kota Raja
*MOHD AFIQ BIN TUNIMAN*
Ketua Cabang KEADILAN Kuala Langat