Nasional

Selangor catat 603 kes baharu Covid-19

NEGERI Selangor mencatatkan bilangan kes tertinggi Covid-19 iaitu 603 kes baharu atau 55.0 peratus daripada keseluruhan 1,096 kes baharu yang dilaporkan hari ini.

Kes positif Covid-19 yang tinggi di Selangor berpunca daripada pertambahan kes bagi kluster-kluster sedia ada terutamanya kluster berkaitan tempat kerja iaitu Kluster Teratai dengan pertambahan sebanyak 502 kes.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, Sabah mencatatkan jumlah kes kedua tertinggi iaitu 311 kes atau 28.4 peratus daripada keseluruhan kes baharu.

Peningkatan kes disebabkan oleh peningkatan pengesanan kes dalam kalangan saringan kontak rapat iaitu sebanyak 139 kes (44.7 peratus).

Sebanyak 72 kes (6.6 peratus) yang dilaporkan pada hari ini berkaitan kluster di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan penjara.

Ia membabitkan Kluster Tembok (42 kes), Kluster Bakti (16 kes), Kluster Rumah Merah (4 kes), Kluster Penjara Sandakan (4 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (2 kes), Kluster Penjara Reman (2 kes), Kluster Penjara Kepayan (1 kes), dan Kluster Matambai (1 kes).

Menurut Dr. Noor Hisham sebanyak empat kluster tamat iaitu Kluster Kasih, Kluster Baiduri, Kluster Long dan Kluster Bestari.

Bagaimanapun tiga kluster baharu dikesan iaitu Kluster Pengkalan Barat melibatkan kes di Pulau Pinang dan Perak, Kluster Bakti di Negeri Sembilan dan Kluster Bayam Indah di Kedah.

Keseluruhan kluster yang masih aktif dan dipantau adalah sebanyak 167 kluster.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 54 kluster melaporkan pertambahan kes. Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Teratai (504 kes), Kluster Tembok (42 kes), dan Kluster Kaya (20 kes),” kata Dr. Noor Hisham.

Sementara itu tiga kematian dilaporkan melibatkan kes di Sabah menjadikan keseluruhan kes kematian adalah sebanyak 335 kes.

Sehingga pukul 12 tengah hari tadi terdapat 12,843 kes aktif yang sedang dirawat dengan 106 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 46 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.-SM

 

 

(Visited 145 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button