Nasional

DOJ Amerika pulangkan RM1.9 bilion wang 1MDB kepada Malaysia

Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) telah memulangkan kira-kira RM1.9 bilion (USD452.363.867.40) wang yang disita berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada Malaysia.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam satu kenyataan berkata, Wang berkenaan telah didepositkan ke dalam Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset.

Sehingga kini Akaun Amanah berkenaan yang di bawah seliaan Jabatan Akauntan Negara itu telah menerima sebanyak RM16.05 bilion dana yang disita dan dipulangkan berkaitan 1MDB.

Menurutnya, Jumlah di dalam Akaun Amanah tersebut akan digunakan untuk melunaskan baki hutang 1MDB dan SRC.

“Setakat ini, Kerajaan telah melunaskan sebanyak RM12.4 bilion hutang 1MDB dan RM3.1 bilion hutang SRC.

“Baki hutang merangkumi prinsipal dan kupon/ keuntungan/ faedah bagi bon, Sukuk dan pinjaman berjangka, adalah sebanyak RM39.8 billion (1MDB) dan RM2.57 bilion (SRC),” katanya.

Menurut beliau, baki semasa Akaun Amanah hanya cukup untuk melunaskan prinsipal dan faedah hutang 1MDB untuk tahun 2021 dan 2022.

Baki tersebut tidak termasuk jumlah penyelesaian sebanyak RM2.83 bilion yang akan diterima dari Kumpulan Ambank dan RM336 juta dari Deloitte PLT.

“Rundingan juga sedang dijalankan dengan KPMG. Setelah semua dana Akaun Amanah digunakan, Kerajaan tetap perlu menanggung obligasi bayaran baki hutang 1MDB memandangkan hutang tersebut adalah disokong oleh Kerajaan melalui Jaminan Kerajaan dan Surat Sokongan semasa hutang-hutang ini diterbitkan,” kata Tengku Zafrul.

Tambah beliau, pemulihan dana berkaitan 1MDB tidak akan dapat dicapai tanpa bantuan dan kerjasama yang sangat baik di antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Amerika Syarikat, terutamanya dengan DOJ.

“Bagi pihak Kerajaan Malaysia, kami mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Amerika Syarikat dan mengharapkan kerjasama erat di antara kita ini dapat diteruskan”.

“Usaha pemulihan aset 1MDB dan SRC oleh Kerajaan pada masa ini memfokuskan kepada pihak-pihak yang telah menyebabkan kerugian kepada 1MDB dan SRC semasa menjalankan tanggungjawab mereka, sama ada melalui penglibatan secara langsung atau tidak langsung dalam pelbagai operasi dan transaksi 1MDB dan SRC.

“Semua yang terlibat akan dipertanggungjawabkan sepenuhnya atas salah laku melalui penglibatan di dalam 1MDB dan/atau SRC,” katanya.-SM

 

(Visited 171 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button