Nasional

Tujuh daerah di Sarawak dalam zon merah

JAWATANKUASA Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak hari ini menyenaraikan tujuh daerah di negeri ini sebagai zon merah (hotspot) bagi wabak COVID-19.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga pengerusi jawatankuasa itu berkata Bandaraya Kuching menjadi daerah paling banyak zon merah dengan 69 kawasan.

“Ia diikuti Samarahan dengan 16 kawasan, Miri (sembilan) Betong (enam), Limbang (enam), Sarikei (enam) dan Bintulu dengan lima kawasan,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini.

Uggah berkata terdapat enam lagi daerah yang disenaraikan sebagai zon kuning iaitu Serian (tiga), Sibu (tiga), dan masing-masing satu kawasan di Mukah, Matu, Lawas dan Simunjan.

Dalam pada itu, Uggah berkata Sarawak telah memutuskan semua pekerja di pelantar minyak dan gas termasuk yang dari luar Sarawak dikehendaki menjalani perintah kuarantin selama 14 hari di Sarawak sebelum pergi ke pelantar.

“Selain itu, jawatankuasa juga tidak membenarkan pergerakan antara daerah dan pengecualian hanya diberikan bagi kes-kes kecemasan melalui kelulusan pejabat daerah masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Uggah berkata Sarawak hari ini mencatatkan 11 kes baharu positif COVID-19, menjadikan jumlah bilangan kes di Sarawak sebanyak 129 kes sejak kes positif pertama dilaporkan pada 13 Mac lepas.

“Kesemua 11 kes baharu ini dirawat di Hospital Umum Sarawak dan daripada jumlah ini, enam adalah lelaki dan lima perempuan,” katanya.

Sementara itu Semenanjung, sebanyak tujuh  buah kampung di Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Perkampungan yang mempunyai 3,918 penduduk dan 700 buah rumah itu dikenakan PKPD selepas 71 penghuni Maahad Tahfiz An-Nabawiyyah di Batu 23 di kawasan tersebut dikesan positif COVID-19.

Pengumuman dibuat oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Langkah itu selepas mengambil kira jumlah kes yang tinggi di sekolah tersebut dan kerajaan atas nasihat Menteri Kesihatan telah memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan pergerakan Diperketat.

Ini merupakan arahan kedua selepas Simpang Renggam di kawasan Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui Hulu Langat. – BERNAMA

(Visited 277 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button