Nasionalpilihan

Satu jawatan Timbalan Exco belum diisi – Ab. Rauf

Hanya satu daripada 10 jawatan Timbalan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) masih belum diisi kata Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.

Menurutnya, jawatan Timbalan Exco yang belum diisi adalah bagi portfolio Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO di bawah Pengerusinya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek, V. Shanmugam.

Ab. Rauf Yusoh mengadakan sidang akhbar mengumumkan senarai Timbalan Exco selepas mempengerusikan mesyuarat Exco pertama di Hotel Ames, Ayer Keroh, Melaka.

“Kita sedang menunggu keputusan daripada mereka-mereka (ADUN) yang tidak dapat dihubungi sampai hari ini. Nanti kita akan maklumkan,” ujarnya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco pertama di Hotel Ames, Ayer Keroh di sini malam tadi.

Seramai tujuh ADUN dari Barisan Nasional (BN) termasuk dua dari blok Pakatan Harapan (PH) disenaraikan sebagai Timbalan Exco yang diwujudkan semula.

Antara ADUN yang masih belum memegang sebarang jawatan ialah bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali (Lendu), Kerk Chee Yee (Ayer Keroh), Datuk Muhammad Jailani Khamis (Rembia) dan Datuk Lim Ban Hong (Klebang).

Mengulas lanjut Ab. Rauf berkata, pelantikan Timbalan Exco adalah bagi memantapkan struktur organisasi pentadbiran baharu Kerajaan Perpaduan yang dibentuk di negeri ini.

Menurutnya, kemudahan yang akan diterima bagi ADUN yang memegang jawatan tersebut bakal menerima kenderaan rasmi dan pemandu.

“Mereka ini hanya menghadiri mesyuarat post Exco dengan tujuan maklumat-maklumat daripada mesyuarat Exco secara langsung dapat membantu dan memberikan sumbangan membangunkan kerajaan negeri,” ujarnya.

Sehubungan itu Ab. Rauf meminta semua wakil rakyat yang berada dalam Kerajaan Perpaduan dapat memainkan peranan membangunkan Melaka yang diterajui oleh beliau.

ADUN Tanjong Bidara itu juga berharap semua ADUN yang dilantik dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan baik serta cemerlang bagi memastikan Melaka dibangunkan mengikut acuan kerajaan Perpaduan ketika ini.

Mengenai jawatan Timbalan Speaker yang kosong selepas Khaidirah dilantik sebagai Timbalan Exco, Ab Rauf berkata, perkara tersebut akan diputuskan bila tiba masanya nanti.

Tujuh ADUN dari Barisan Nasional (BN) yang dilantik sebagai Timbalan Exco terdiri daripada ADUN Rim, Datuk Khaidirah Abu Zahar (Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET), ADUN Taboh Naning, Zulkiflee Mohd. Zin (Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana) dan ADUN Serkam, Datuk Zaidi Attan (Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Kebudayaan).

Empat lagi tersenarai ialah ADUN Duyong, Mohd. Noor Helmy Abdul Halem (Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital), ADUN Sungai Rambai, Siti Faizah Abdul Azis (Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan), ADUN Durian Tunggal, Zahari Abd. Kalil (Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan) dan ADUN Pantai Kundor, Tuminah Kadi (Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna).

Dua ADUN DAP turut dilantik ke jawatan tersebut ialah ADUN Bandar Hilir, Leng Chau Yen (Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti) dan ADUN Kota Laksamana, Low Chee Leong (Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan). – SM

(Visited 161 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button