Politik

Selagi jubah atas jasad, Kor Ming akan pertahan integriti Parlimen

TIMBALAN Yang Dipertua Dewan Rakyat Nga Kor Ming akan mempertahankan integriti institusi Parlimen selagi beliau memakai jubah jawatan tersebut.

Menurut Ahli Parlimen Teluk Intan dari DAP itu, beliau akan terus menjalankan tugas dengan tidak bersikap berat sebelah dan penuh semangat profesionalisme.

Kor Ming yang dilantik ke jawatan tersebut ketika era pemerintahan Pakatan Harapan berkata, beliau berdoa kepada Tuhan untuk terus mengurniakan kebijaksaan dalam memelihara institusi Parlimen.

“Selagi jubah atas jasad tubuh ini, saya akan mempertahankan integriti institusi Parlimen dan menjalankan tugas secara adil, berkecuali dan penuh dengan profesionalisme.

“Berdoalah kepada Ilahi supaya mengkurniakan kebijaksanaan untuk menjaga imej dan martabat Dewan yang mulia. @MYParlimen,” ciap Kor Ming di Twitternya.

Kor Ming dan Ahli Parlimen Batu Pahat Datuk Mohd Rashid Hasnon dilantik ke jawatan tersebut pada 16 Julai 2018 sebaik sahaja Pakatan Harapan berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

Speaker Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof mengumumkan pelantikan itu selepas Kor Ming dan Rashid Ming mendapat undian tertinggi daripada 3 calon.

Kedudukan Kor Ming, Mohamad Ariff dan Mohd Rashid di Dewan Rakyat kini menjadi perhatian selepas Kerajaan Persekutuan pimpinan PH roboh pada akhir Februari lalu.

Istiadat pembukaan mesyuarat pertama penggal ketiga Parlimen ke-14 dirasmikan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam menyaksikan perubahan pimpinan Kerajaan Persekutuan kepada Perikatan Nasional.

Bagaimanapun sesi penuh Parlimen hanya akan berlangsung pada Julai nanti yang sekali gus bakal menjawab persoalan mengenai kedudukan Kor Ming, Mohamad Ariff dan Mohd Rashid di Dewan Rakyat di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-8. -SM

 

(Visited 894 times, 2 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button