Berita

“Selagi Cuai, Nyawa Terus Melayang” – KPN

KETUA Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menegaskan bahawa sikap cuai dan pentingkan diri dalam kalangan pemandu merupakan antara punca utama kemalangan jalan raya terus berlaku di negara ini.

Memetik dari Utusan, meskipun pelbagai tragedi sebelum ini telah meragut banyak nyawa, namun insiden seumpama itu tidak akan pernah berakhir selagi sikap pemandu tidak berubah.

“Sekiranya sikap cuai, lalai, tidak menghiraukan keselamatan pengguna jalan raya lain dan pentingkan diri masih ada dalam diri seseorang pemandu, maka kejadian kemalangan akan terus berlaku,” katanya seperti dipetik dari Utusan Malaysia.

Kempen Keselamatan Gagal Tanpa Sokongan Pengguna Jalan Raya

Menurut Razarudin, segala usaha kerajaan termasuk pelaksanaan pelbagai kempen keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang tidak akan berkesan sekiranya pemandu enggan memberikan kerjasama.

“Usaha kerajaan dalam mengurangkan kadar kemalangan jalan raya, terutamanya kemalangan maut, tidak akan berjaya jika pemandu tidak bersama-sama mematuhi segala peraturan yang ditetapkan,” tegas beliau.

Kejadian 13 Mei Tidak Dijadikan Iktibar

Merujuk kepada tragedi pada 13 Mei lalu yang mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) PDRM, beliau melahirkan rasa kecewa apabila kejadian tragis itu masih gagal dijadikan pengajaran oleh segelintir pemandu.

“Kejadian kemalangan maut… tidak dijadikan iktibar dan pengajaran oleh sebahagian pemandu-pemandu yang tidak bertanggungjawab,” ujarnya.

Lebih membimbangkan, katanya, terdapat juga kenderaan berat seperti lori dan bas yang masih beroperasi di jalan raya walaupun tidak layak atau tidak diselenggara dengan baik.

Pemantauan Berterusan & Tindakan Tegas

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) katanya akan terus memperketat pemantauan di lokasi-lokasi panas serta mengambil tindakan termasuk mengeluarkan saman dan mencadangkan senarai hitam terhadap pesalah trafik.

Menyentuh isu sama ada hukuman sedia ada mencukupi atau perlu diperketat, Razarudin menyerahkan perkara tersebut kepada Jawatankuasa Kabinet yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Saya percaya segala keputusan dan perancangan oleh jawatankuasa berkenaan adalah relevan dan sesuai digunapakai pada masa ini, mengambil kira pelbagai faktor keselamatan jalan raya di negara kita,” katanya.

Takziah Kepada Mangsa Tragedi Gerik

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam kemalangan bas di Gerik, Perak awal pagi tadi.

“Siasatan rapi akan dijalankan dan tindakan tegas akan dikenakan sekiranya terdapat unsur kecuaian dalam kejadian tersebut,” tambah beliau.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button