
Sekuel Ejen Ali Kembali dengan Misi Lebih Hebat dan Emosional
EJEN Ali kembali beraksi! Sekuel yang dinanti-nantikan, Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) akhirnya menemui peminat menerusi tayangan perdana yang berlangsung meriah di IOI City Mall, Putrajaya malam ini, menandakan satu lagi pencapaian besar dalam industri animasi tempatan.
Filem terbitan Primeworks Studios dan WAU Animation ini bakal mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 22 Mei 2025, membawa aksi lebih padat, naratif lebih mendalam serta pengalaman visual animasi 3D yang menakjubkan – sesuai untuk seisi keluarga.
Sejak diperkenalkan pada 2016, francais Ejen Ali telah menembusi lebih 65 negara dan menjadi IP Malaysia yang berjaya di peringkat global. Filem pertama pada 2019 mengutip lebih RM30 juta, sekali gus mengukuhkan kedudukan sebagai antara filem animasi tempatan paling berjaya.
Dalam EATM2, Ali kembali sebagai ejen muda MATA dalam misi baharu di bawah unit elit SATRIA, lengkap dengan sut berteknologi tinggi dan bantuan kecerdasan buatan (AI). Namun, keadaan menjadi genting apabila dalang misteri, Neonimus – penggodam yang menyimpan dendam – muncul semula, mengancam keselamatan Cyberaya.
Majlis tayangan perdana turut diserikan dengan persembahan bertenaga, termasuk nyanyian langsung lagu tema “Hanya Kamu” oleh Dato’ M. Nasir dan flash mob lagu ikonik “Mamak Maju” yang membangkitkan nostalgia peminat. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios & Rangkaian Televisyen Media Prima, Pn. Nini Yusof dan Pengarah filem, En. Usamah Zaid Yasin yang menzahirkan rasa bangga dan syukur atas sokongan luar biasa daripada peminat.
Runut bunyi turut memainkan peranan penting dalam menghidupkan emosi filem, menampilkan kolaborasi menarik seperti “Teman Sejati” oleh Nidji dan “Penjuara” oleh Hael Husaini.
Sambutan hangat dapat dilihat menerusi jualan pratonton yang habis terjual di sembilan lokasi GSC dalam masa singkat. Tiket kini boleh didapati di lebih 70 pawagam seluruh negara dengan pelbagai barangan eksklusif turut ditawarkan, termasuk figurine tumbler edisi terhad, peranti IRIS interaktif, dan koleksi popcorn bucket Ejen Ali.
Ejen Ali The Movie 2 menjanjikan satu lagi pengembaraan epik yang menyatukan aksi, emosi dan teknologi dalam penceritaan unik buatan Malaysia.
Jangan lupa saksikan di pawagam bermula 22 Mei dan sertai misi dengan tanda pagar rasmi #EjenAliTheMovie2.