Bola SepakSukan

Kemenangan ke atas Timor Leste pembakar semangat – Kim Swee

Daripada Vikneswaran Raman

Ketua Jurulatih Skuad Bola Sepak Bawah 22 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee berharap kemenangan besar Malaysia 4-0 ke atas Timor Leste malam ini, akan melonjakkan keyakinan anak buahnya dalam misi hidup atau mati berhadapan Kemboja, Rabu ini.

Selepas memulakan kempen Kumpulan A dengan seri 1-1 dalam perlawanan menentang Myanmar, Isnin lepas dan tewas 0-1 kepada tuan rumah Filipina pada Jumaat, Malaysia bangkit untuk mencatatkan kemenangan sulungnya dalam Sukan SEA Ke-30, di Stadium Memorial Rizal, di sini.

Dengan hanya dua pasukan teratas akan mara ke separuh akhir, Myanmar sudah pun mengesahkan tempat ke separuh akhir selaku juara kumpulan dengan 10 mata daripada empat perlawanan.

Kini, pasukan di tempat kedua Kemboja, ketiga Malaysia dan keempat Filipina, kesemua dengan empat mata tetapi dipisahkan oleh perbezaan jaringan gol, perlu bertarung untuk satu slot yang tinggal untuk ke separuh akhir pada Rabu ini.

Kemboja mempunyai kelebihan dengan perbezaan jaringan empat gol selepas membelasah Timor Leste 5-0, sementara Malaysia mempunyai tiga perbezaan jaringan gol manakala Filipina seimbang selepas menjaringkan dan memboloskan tiga gol.

Filipina mempunyai laluan lebih mudah berhadapan Timor Leste sementara Malaysia dan Kemboja perlu bertarung untuk tiga mata dan memerlukan perbezaan jaringan gol yang besar jika tuan rumah menang besar dalam perlawanan itu.

Bagaimanapun, Kim Swee nampaknya menumpukan perhatian kepada tiga mata penuh ketika menentang Kemboja dalam perlawanan pukul 4 petang sebelum tuan rumah turun ke padang empat jam kemudian.

“Ia kemenangan yang bagus, ia akan meningkatkan keyakinan untuk anak buah saya, kerana kami tahu berhadapan Kemboja bukannya mudah. Mengetahui mereka masih berpeluang untuk layak jika mengalahkan kami, saya tidak fikir ia akan menjadi mudah, jadi pendekatan kami akan berbeza dalam gaya permainan nanti.

Apa yang merisaukan saya hari ini ialah jika kami tewas, tetapi kami beruntung mereka terlepas banyak peluang dan penjaga gol Muhammad Haziq Nadzli bertindak cemerlang. Ya terdapat kelompangan dalam pertahanan, sama anda suka atau tidak, anda perlu membuka permainan dan mengambil risiko jika anda mahu menjaringkan lebih banyal gol.

Berhadapan Kemboja, kami perlu pertama berfikir untuk menang perlawanan, bukan untuk menjaringkan banyak gol. Kami tidak boleh berfikir untuk menjaringkan gol sebelum menang. Empat gol tadi menunjukkan bagaimana reaksi anak buah saya selepas tewas kepada Filipina, saya rasa mereka mahu membuktikannya,” kata Kim Swee dalam sidang media selepas perlawanan.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Timor Leste, Fabiano Flora berkata ketidakmampuan anak buahnya menjaringkan gol menunjukkan perbezaan antara pemain kedua-dua negara, yang mana Malaysia mempunyai liga profesional yang aktif sementara pemain Timor Leste hanya bermain dalam liga amatur.

“Malaysia mencipta beberapa peluang, kami melakukan kesalahan dan mereka menjaringkan gol. Kami tidak menjaringkan gol tetapi pemain kami teratur.

Saya rasa kami bermain lebih baik dalam babak kedua berbanding Malaysia, kawalan bola yang baik, menggelecek, kemahiran individu dan mencipta tujuh kelapan peluang tetapi tidak dapat disempurnakan,” katanya.

— BERNAMA

(Visited 84 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button