Nasional

Batik Air, AirAsia penyelamat penumpang MYAirline

DUA syarikat penerbangan tambang murah, Batik Air dan AirAsia menawarkan bantuan kepada penumpang terkandas susulan pengumuman mengejut MYAirline menggantung operasinya serta-merta.

Syarikat itu menawarkan tambang khas tetap di beberapa laluan terpilih.

“Batik Air menawarkan semua tambang istimewa hingga 30 November ini, tertakluk kepada kekosongan,” kata kata Pengarah Strategik Lion Air Group Chandran Rama Murthy dalam kenyataannya, hari ini.

Beliau berkata, tujuan mereka menawarkan bantuan ini adalah bagi membantu memudahkan penumpang tiba di lokasi dan membantu penumpang terjejas ketika ini.

Tambang istimewa untuk penerbangan sehala ke Pulau Pinang adalah RM129, RM159 ke Langkawi, RM199 ke Kuching, dan RM299 untuk ke Bangkok (Don Mueang) dan Kota Kinabalu.

Sementara itu, eksklusif untuk penumpang MYAirline, AirAsia mengumumkan diskaun 50% untuk tiket sehala tidak termasuk cukai lapangan terbang, yuran Mavcom dan bayaran lain.

“Tawaran istimewa ini layak untuk penumpang MYAirline yang sudah menempah tiket penerbangan ke atau dari Kuala Lumpur, Langkawi, Pulau Pinang, Tawau, Kota Bharu, Kuching, Kota Kinabalu, Kota Kinabalu-Tawau, dan Don Mueang dan Suvarnabhumi di Bangkok dari hari ini sehingga 30 November ini,” katanya dalam kenyataan berasingan.

AirAsia berkata, penumpang terjejas boleh mengemukakan tempahan tiket penerbangan MYAirline di kaunter jualan AirAsia di KL Sentral, Kuala Lumpur dan di lapangan terbang dalam destinasi dinyatakan.

CEO AirAsia Aviation Group, Bo Lingam juga berkata, syarikat itu juga bersedia mempertimbangkan untuk menawarkan pekerjaan kepada petugas MYAirline dan menggalakkan pekerja terjejas berhubung dengan pihak pengurusan AirAsia.

Terdahulu, MYAirline dalam kenyataannya hari ini memaklumkan, menggantung operasinya berkuat kuasa serta-merta disebabkan “cabaran kewangan yang signifikan”.

Tindakan itu menyebabkan penumpang terkejut dan marah apabila terkandas di lapangan terbang selepas tidak boleh menaiki penerbangan mereka dan kaunter syarikat itu juga ditutup. – SM

BACA MYAirline gantung operasinya berkuat kuasa hari ini

(Visited 82 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button