Ekonomi

Sektor perbankan terus bantu peminjam bermasalah kewangan

PEMINJAM yang masih memerlukan bantuan disarankan segera menghubungi bank masing-masing bagi membincangkan pilihan penstrukturan dan penjadualan semula yang bersesuaian.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, walaupun kadar muflis telah berkurangan sebanyak 50 peratus selepas sektor ekonomi mula dibuka secara berperingkat sejak Oktober lalu namun ekonomi Malaysia akan mengambil masa untuk pulih sepenuhnya.

Beliau berkata, sehubungan itu, peminjam yang baharu atau masih sukar mendapat pekerjaan terutamanya golongan B50 wajar disokong sebaik mungkin sehingga mereka mampu berdiri teguh semula bagi memastikan kelangsungan hidup.

“Kerajaan mengalu-alukan usaha sektor perbankan yang terus menyokong dan membantu peminjam yang menghadapi masalah kewangan bagi penstrukturan semula pinjaman.

“Kerajaan mengambil maklum usaha sektor perbankan yang tidak terlalu cepat mengambil jalan mudah untuk terus meletakkan mereka yang benar-benar menghadapi kesulitan di dalam senarai hitam peminjam atau senarai muflis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini berhubung sektor perbankan yang akan terus membantu peminjam yang menghadapi masalah kewangan.

Bank-bank, kata Perdana Menteri diminta supaya terus membantu peminjam yang yang menghadapi kesulitan kewangan untuk membayar semua pinjaman mereka dan menangguhkan tindakan undang-undang terhadap peminjam yang gagal membayar balik hutang.

Kata Ismail Sabri lagi, dalam masa yang sama, Kerajaan melalui Jabatan Insolvensi Malaysia juga telah meningkatkan nilai ambang kebankrapan kepada RM100,000.

Ini untuk memberi perlindungan kepada mereka yang mungkin masih tidak dapat bertahan dari segi kewangan akibat kesan pandemik, katanya.

Untuk makluman, peruntukan ini dibuat berdasarkan Akta Insolvensi (1967) dan Akta LangkahLangkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) (2020).

Tambah beliau, dalam menyokong peminjam dari golongan B50, seperti mana yang telah diumumkan pada 13 Oktober lalu, industri perbankan bersama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) sedang giat melaksanakan Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (URUS) bagi peminjam B50 yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Di bawah URUS, peminjam akan mendapat manfaat seperti berikut:
i. Pengecualian faedah/keuntungan untuk tempoh 3 bulan
ii. Penangguhan bayaran pinjaman atau moratorium serta pilihan lain termasuk pengurangan ansuran untuk tempoh sehingga dua tahun bagi membantu mengurus hutang keseluruhan selaras dengan kemampuan peminjam

iii. Sokongan pembangunan, pendidikan dan khidmat nasihat untuk membantu mengurus kewangan agar lebih berdaya tahan termasuk peluang untuk menambah pendapatan dan mendapat sokongan lain.

Jelasnya, peminjam juga akan diberikan bantuan secara menyeluruh termasuk pelan kewangan peribadi yang disesuaikan berdasarkan kemampuan kewangan masing-masing, mengambil kira semua jenis pinjaman dengan institusi perbankan di bawah nama mereka.

“Ini bagi memastikan bantuan jangka panjang yang lebih bermakna kepada peminjam yang memerlukan untuk memulihkan keadaan kewangan mereka sejajar dengan pemulihan ekonomi,” ujarnya.

Beliau berkata, Kerajaan juga mengambil maklum bahawa sektor perbankan telah melaksanakan URUS secara telus dan adil bagi membantu peminjam B50 yang mempunyai pendapatan isi rumah sehingga RM5,880 serta kehilangan pekerjaan atau kehilangan pendapatan melebihi 50 peratus daripada pendapatan isi rumah akibat pandemik.

“Syarat-syarat lain adalah pinjaman/pembiayaan telah pun berada di bawah program bantuan bayaran balik sedia ada pada 30 September 2021 dan peminjam mempunyai rekod pinjaman berbayar (performing loans).

“Peminjam yang layak dan berhasrat untuk memohon kemudahan di bawah URUS boleh berhubung dengan bank masing-masing sebelum 31 Januari 2022,” katanya.

Selain daripada program URUS, peminjam masih boleh mendapatkan bantuan lain daripada bank masing-masing yang sesuai dengan keperluan dan keadaan kewangan mereka, kata Ismail Sabri.

Bagi pengusaha mikro pula, beliau berkata, RM1.8 bilion telah diperuntukkan melalui TEKUN Nasional, Bank Simpanan Nasional dan Agrobank yang memberi pembiayaan pada kadar kosong peratus (0%) selama sekurangkurangnya enam (6) bulan.

Bagi saiz pinjaman sehingga RM75,000 dan moratorium segera di antara 6 – 12 bulan, tertakluk kepada terma dan syarat, jelas beliau lagi.

Ismail Sabri menambah, Kerajaan mengambil maklum bahawa masih ramai rakyat terutamanya dalam golongan B40 yang masih memerlukan sokongan.

Sehubungan itu, di bawah Bajet 2022, usaha Kerajaan bagi memastikan kesejahteraan rakyat adalah menyeluruh dan merangkumi pelbagai inisiatif, kata beliau.

Ini termasuk peruntukan sebanyak RM8.2 bilion bagi Bantuan Keluarga Malaysia, RM2.4 bilion bagi bantuan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat, RM450 juta bagi bantuan awal persekolahan, RM400 juta bagi rancangan makanan tambahan termasuk bekalan susu harian bagi anakanak miskin, RM450 juta untuk inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia dan RM4.8 bilion bagi program JaminKerja dan Latihan MySTEP bagi menyediakan 600,000 peluang pekerjaan.

Kerajaan juga menitikberatkan perlindungan sosial bagi golongan B40, katanya.

Sehubungan itu, menerusi Bajet 2022 kata Perdana Menteri, di antara penambahbaikan inisiatif perlindungan sosial termasuk kemudahan baucar perlindungan Tenang yang dinaikkan kepada RM75, meneruskan Elaun Mencari Pekerjaan tambahan dan meningkatkan siling gaji yang diinsuranskan daripada RM4,000 kepada RM5,000 untuk menambah baik liputan keselamatan sosial bagi 9 juta pekerja yang dilindungi oleh PERKESO.

Memandang ke hadapan, Kerajaan juga telah mengaktifkan semula Majlis Perlindungan Sosial (MySPC) yang sedang giat membentuk dasar keselamatan sosial yang komprehensif dan bersepadu bagi jangka masa panjang, katanya dalam kenyataan yang sama hari ini. – SM

(Visited 185 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button