Nasional

Sektor pelancongan sasar kedatangan 15 juta pelancong

Kerajaan menyasarkan ketibaan pelancong asing lebih daripada 15 juta dengan nilai pendapatan dijangka sebanyak RM47.6 bilion pada tahun hadapan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bagi memperkukuh pemulihan sektor pelancongan sebanyak RM200 juta disediakan untuk galakan, promosi dan pemasaran.

Menurutnya, kerajaan akan menumpukan kepada pelancong bernilai tinggi daripada segmen pasaran khusus atau niche market segment seperti ekopelancongan, sukan golf dan skuba serta konvensyen antarabangsa.

Beliau berkata, sejak pintu sempadan dibuka, sektor pelancongan sudah mulai pulih walaupun setakat Julai, Malaysia menerima ketibaan 3.2 juta pelancong dengan pendapatan 9.4 bilion ringgit.

Jelasnya, ia masih belum menggambarkan pencapaian sebelum Covid-19 antaranya ekoran dasar China yang masih tidak menggalakkan rakyatnya ke luar negara.

Justeru beliau berkata, sebanyak RM90 juta disediakan dalam bentuk geran sepadan untuk program seperti Geran Padanan Galakan Melancong (GAMELAN) yang melibatkan kempen promosi dan pemasaran bersama industri.

Jelasnya, geran tersebut disediakan untuk insentif penganjuran program pelancongan termasuk acara sukan antarabangsa.

“Selain itu turut disediakan bagi menggalakkan perkhidmatan penerbangan charter terutamanya dari Timur Tengah dan Asia Timur.

“Kerajaan bersama Malaysia Airport Holdings Berhad (MAB) dan syarikat penerbangan antarabangsa akan mengusahakan laluan penerbangan terus baharu destinasi antarabangsa seperti dari Asia Barat dan Timur Tengah ke Malaysia termasuk ke lapangan terbang antarabangsa Kota Kinabalu dan Pulau Pinang,” ujarnya.

Tengku Zafrul berkata, segmen ekopelancongan telah menjadi antara tarikan pelancong asing ke Malaysia. Ini termasuklah THE HABITAT Bukit Bendera yang berjaya menjadi destinasi tumpuan pelancong. Tahun hadapan, sebanyak RM10 juta disediakan melalui usahasama dengan jaringan pengusaha ekopelancongan

Menurutnya, antara usaha akan dijalankan ialah menaik taraf tarikan ekopelancongan di Gua Kelam, Perlis; merintis usaha pengurusan sisa pepejal mampan di Pulau Perhentian, Terengganu dan mempergiat aktiviti-aktiviti di Taman Pertanian Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di Kuantan, Pahang.

“Bagi menggalakkan Keluarga Malaysia melancong di destinasi pilihan dalam negara, kerajaan memperuntukkan RM25 juta bagi menyediakan insentif kepada rakyat dalam bentuk diskaun, baucar
dan rebat bagi penginapan, pakej pelancongan, kraf tangan dan karya seni sehingga RM100,” ujarnya.

Beliau menambah, hotel-hotel di Malaysia wajar memainkan peranan untuk memaparkan kraf tangan hasil pengusaha tempatan kepada pelancong.

Menurutnya, hanya Hotel One and Only Desaru Coast Resort milik Khazanah Nasional Berhad merupakan hotel yang memaparkan 100 peratus hiasan daripada kraf tangan Malaysia.

Ujarnya, bagi menggalakkan lagi sektor pelancongan mengutamakan kraf tangan tempatan, Kerajaan mencadangkan potongan cukai khas kepada hotel yang membeli produk kraf tangan tempatan dengan kos pembelian sehingga RM500,000. – SM

(Visited 93 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button