Ekonomi

Sektor industri Singapura beroperasi, pekerja Malaysia diperlukan

SINGAPURA sedia bekerjasama dengan Malaysia untuk memenuhi keperluan pelawat merentas sempadan, termasuk pelawat untuk urusan jangka pendek dan rasmi serta  pekerja Malaysia yang sebelum ini berulang alik antara Malaysia dan Singapura.

Kementerian Luar republik itu berkata dalam satu kenyataan malam ini bahawa cadangan aturan perjalanan perlu mengandungi protokol kesihatan awam yang dipersetujui bersama bagi membenarkan semula pergerakan rentas sempadan yang selamat.

Kedua-dua negara memerlukan masa untuk memperhalusi isu ini  dan bergantung kepada keadaan COVID-19 di Malaysia dan Singapura.

Sementara itu, kementerian itu berkata Singapura akan meneruskan langkah praktikal bagi membolehkan rakyat Malaysia terus bekerja di Singapura, kata kenyataan itu.

Terdahulu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pada petang tadi berkata kerajaan mengambil maklum bahawa sektor industri di Singapura telah mula beroperasi dan meminta kebenaran supaya pekerja mereka dari Malaysia untuk berulang alik ke Singapura.

Mesyuarat khas telah bersetuju untuk membenarkan rakyat Malaysia untuk berulang alik atas urusan kerja dan bersedia untuk menjalankan ujian COVID-19 jika diperlukan Kerajaan Singapura.

Ismail Sabri berkata kerajaan telah menerima tawaran daripada Yayasan Sultan Ibrahim serta dua syarikat swasta Singapura iaitu Kumpulan Temasek dan Thompson Medical Group untuk menyumbang dua makmal ujian saringan COVID-19 bergerak dan kit ujian COVID-19.

Bagaimanapun, pelaksanaan kebenaran ini masih dalam perbincangan antara Ketua Setiausaha Kementerian Luar  (Wisma Putra) bersama rakan sejawatnya di Singapura, kata menteri itu. – BERNAMA

(Visited 141 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button