Nasional

Bayaran GKP 3.0 kepada satu juta PKS bermula hari ini

SERAMAI hampir satu juta pengusaha Perusahaan Kecil dan Sederhana akan menerima Geran Khas Prihatin (GKP) 3.0 berjumlah RM1,500 bermula hari ini.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata permulaan sebanyak RM1,000 akan diberikan kepada penerima manakala baki RM500 akan dibayar pada bulan depan.

“Kedua-dua bayaran hasil keputusan kerajaan yang diumumkan di bawah Projek Strategi Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) pada 17 Mac dan 31 Mei lalu.

“Pembayaran akan terus dikreditkan ke akaun bank yang didaftarkan dalam sistem GKP dan semakan status kelulusan boleh dibuat di portal GKP.

“Secara keseluruhan jumlah yang telah dan akan disalurkan kepada hampir satu juta PKS mikro di bawah GKP semenjak Covid-19 melanda negara adalah RM5.1 bilion ringgit,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) Ke-56

Sementara itu 25,605 PKS menerima manfaat menerusi Dana Pinjaman Mudah Perusahaan Kecil dan Sederhana yang kendalikan oleh Bank Negara Malaysia.

Setakat 28 Mei jumlah permohonan yang telah diluluskan oleh bank-bank tempatan dan disetuju terima oleh PKS adalah RM12.06 bilion.

Tengku Zafrul juga berkata, sejumlah RM66.4 juta telah disalurkan kepada 13,866 perniagaan dalam bentuk geran dan pinjaman bagi inisiatif sokongan penggunaan teknikal dan digital kepada PKS dan syarikat peringkat pertengahan sehingga 28 Mei lalu.

Bagi pembiayaan sektor pelancongan PKS dan mikro sebanyak 666 permohonan telah diterima dan 327 telah diluluskan dengan pembiayaan sebanyak RM65.1 juta daripada keseluruhan peruntukan berjumlah RM600 juta.

“Bagi pembiayaan mikro kredit Penjana di bawah Bank Simpanan Nasional setakat 28 Mei sebanyak RM421.2 juta telah disalurkan bagi memanfaatkan 12,667 PKS mikro termasuk dalam bidang peruncitan dan perkhidmatan,” kata Tengku Zafrul.

Sementara itu sejumlah RM1.215 bilion telah disalurkan kepada 74,075 majikan di bawah Program Subsidi Upah untuk terus beroperasi dan mengekalkan pekerjaan bagi 645,522 orang.

Tengku Zafrul turut memaklumkan 1.75 juta belia yang layak telah menuntut inisiatif kredit e-tunai, eBelia berjumlah RM262.5 juta sehingga 8 Jun lalu.

“e-Belia merupakan inisiatif kredit e-Tunai bernilai RM300 juta yang telah dibuka pada 1 Jun lalu. Kerajaan telah menambah peruntukan RM1 juta di bawah program Pemerkasa yang diumumkan Mac lalu.

“Dengan pertambahan peruntukan ini setiap penerima layak mendapat nilai kredit bernilai RM150 berbanding RM100 sebelum ini di bawah peruntukan asal RM200 di bawah Belanjawan 2021,” katanya.

Tempoh tuntutan kredit eBelia dari 1 Jun hingga 22 Julai dan kredit boleh dibelanjakan sehingga 31 Julai.SM

 

(Visited 232 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button