fbpx
NasionalPendidikan

Sekolah di KK, Penampang, Putatan ditutup mulai esok

SEBANYAK 122 sekolah yang terletak di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan ditutup mulai esok ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Bagaimanapun, penutupan tersebut adalah sehari lebih awal berbanding pengumuman pelaksanaan PKPB pada 7 Oktober seperti diumum Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Penutupan itu juga berikutan penularan wabak Koronavirus (Covid-19) yang semakin meningkat dan membimbangkan rakyat Malaysia khususnya penduduk di sana.

Keputusan itu turut mengambil kira nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Kementerian Pendidikan (KPM) ingin merujuk kepda pengumuman Menteri Kanan Keselamatan pada hari ini dan mengambil maklum keputusan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri.


“Untuk melaksanakan PKPB di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan berkuatkuasa pada 12.01 tengah malam 7 Oktober 2020.

“Mengambil kira keputusan ini, KPM memutuskan sebanyak 122 buah sekolah harian di dalam kawasan tersebut akan ditutup sehari lebih awal.

“Iaitu, bermula esok, 6 Oktober 2020. Ini melibatkan 86 buah sekolah rendah, 25 buah sekolah menengah dan 11 buah sekolah swasta.”

Demikian kata KPM dalam satu kenyataan yang dikeluarkan malam ini.

KPM mengambil langkah mematuhi PKPB dengan menutup sekolah susulan peningkatan luar jangka paling tinggi pandemik tersebut yang mencencah 423 kes hari ini.

Susulan peningkatan itu, Sabah mencatatkan jumlah kes baharu kedua tertinggi hari ini iaitu sebanyak 130 di belakang Kedah (241).

Oleh demikian tersebut mencetuskan kebimbangan awam yang menggesa kerajaan mengambil tindakan segera untuk memastikan keselamatan mereka.

Dalam pada itu, sebagai langkah pencegahan, KPM turut memantau dan mengadakan kersama rapat bersama MKN dan KKM.

“Sekolah di luar kawasan PKPB akan beroperasi seperti biasa sebagaimana yang dijelaskan di dalam kenyataan media KPM yang telah dikeluarkan pada 3 Oktober lalu.

“KPM menyedari kekhuatiran ibu bapa dan warga sekolah berkaitan keadaan semasa penularan wabak Covid-19.

“Dalam hal ini KPM sentiasa memantau situasi di seluruh negara serta bekerjasama rapat dengan MKN dan KKM dalam melakukan yang terbaik bagi memastikan kesihatan dan keselamatan warga sekolah terpelihara,” ujarnya. – SM

(Visited 23 times, 1 visits today)

Show More

Mohamad Athir Ismail

Berpengalaman lapan tahun dalam bidang kewartawanan termasuk penerbitan majalah, surat khabar dan portal berita. Sebelum menyertai Suara Merdeka, beliau pernah berhidmat di pelbagai syarikat penerbitan. Berminat meneroka bidang kewartawanan untuk perniagaan.

Related Articles

Back to top button