Nasional

Sekolah bukan pentas sandiwara politik, luah bekas pelajar SMK Pusat Bandar Puchong 1

SEORANG bekas pelajar SMK Pusat Bandar Puchong 1 meluahkan perasaan apabila bekas tempatnya belajar  menjadi seolah-olah pentas untuk orang politik bersandiwara.

Mohamed Aiman Shah Johan Shah dalam catatannya di Facebook, menggesa ahli politik berhenti menjadikan pendidikan sebagai alat mencapai matlamat politik.

Tegas beliau, SMK Pusat Bandar Puchong 1 mempunyai pelajar yang terdiri daripada pelbagai kaum. Mereka belajar, beraktiviti dan bermain dalam semangat muhibbah tanpa sebarang bayangan perkauman.

Sekolah tempatnya belajar juga tidak pernah mendidik mereka dengan sentimen perkauman. Malah mereka tidak mengenal apakah itu rasisme ketika di zaman sekolah.

Menurut Mohamed Aiman Shah, setiap kali tiba musim perayaan baik Sambutan Hari Raya, Tahun Baharu Cina dan Deepavali, perayaan ini akan diraikan secara meriah seolah-olah pesta oleh pelajar dan guru sekolah terbabit.

SMK Pusat Bandar Puchong 1 menjadi perhatian apabila Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz menulis surat kepada pengetua sekolah tersebut, Rohani Mohd. Nor mengenai aduan daripada  ibu bapa yang tidak selesa dengan hiasan berlebihan sempena Tahun Baharu Cina.

Beliau yang juga Pengerusi Biro Aduan Awam dan Undang-Undang Putra memberi tempoh kepada pengetua sekolah itu untuk menurunkan hiasan terbabit.

Rentetan itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mengetuai deligasi  melawat dan memberi sokongan terhadap pelajar dan guru SMK Pusat Bandar Puchong 1

Turut hadir adalah Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Komunikasi Gobind Singh Deo, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Abdul Rahmah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mujahid Yusof Rawa.

Juga hadir, Menteri Air ,Tanah dan Sumber Asli, Datuk Xavier Jayakumar dan Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Cing. Kesemua mereka mengambil giliran menandatangani tanglung yang ditaja oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Kinrara, Ng Sze Han yang turut hadir.

Berikut catatan penuh Mohamed Aiman Shah Johan Shah:

Kehidupan Murid Berbilang Bangsa dalam Naratif SMK PUSAT BANDAR PUCHONG (1)

Saya terpanggil untuk menulis sedikit berkenaan dengan isu “perhiasan Tahun Baru Cina terlampau” di SMK Pusat Bandar Puchong 1(SMKPBP1).

Saya menulis luahan ini sebagai seorang bekas murid sekolah keramat ini dari tahun 2011-2015 yang telah banyak berjasa dalam membentuk saya menjadi murid yang memaknakan pendidikan menengah dalam memacu kehidupan yang lebih gemilang.

Di SMKPBP1, nisbah murid sememangnya tidak seimbang kerana Puchong sememangnya dipenuhi dengan penduduk berbangsa Cina secara majoriti.

Secara nisbah dalam satu kelas yang mempunyai 45 orang, boleh dikatakan 25 murid adalah bangsa Cina, 15 berbangsa Melayu dan 5 berbangsa India.

Saya tidak pasti adakah nisbah ini telah berubah tapi kurang lebih itulah nisbah ketika saya menjadi warga SMKPBP1.

Semasa saya berada di Tingkatan 5, boleh dibilang berapakah jumlah murid Melayu dalam kelas seramai 45 orang. (Saya, Neezal, Taj Izrin, Luqmanul Hakim, Dariwsha & Izzah).

Namun begitu sekolah tidak pernah mendidik kami dengan sentimen perkauman. Kami tidak mengenal apakah itu racism semasa zaman sekolah.

Kami belajar dalam satu kelas yang sama, kami makan bersama semeja di kantin, kami bersukan dan beriadah bersama (pernah kena denda dengan Guru Disiplin kerana bermain bola sewaktu hujan🤣) tapi itulah realitinya.

Sekolah kami ada Kelab Tarian Singa yang professional, Kelab Diabolo, Wind Orchestra tak ketinggalan juga sekolah ada pasukan nasyid, tarian zapin juga.

Setiap kali berlangsungnya apa jua perayaan, semua pertunjukan ini mewarnai Dataran Wawasan SMKPBP1. Uncle Kuan Chee Heng yang menjadi YDP PIBG kami juga sebagai aktivis sosial banyak membantu orang Melayu berbanding dengan bangsa lain secara relatifnya.

Setiap kali tiba musim perayaan baik Sambutan Hari Raya, Tahun Baru Cina dan Deepavali, perayaan ini akan diraikan secara meriah seolah-olah pesta.

Kita belajar kebudayaan kaum lain dan menyemarakan semangat muhibbah dalam kalangan murid dan juga guru.

Bergurau senda, bergelak ketawa, lagu perayaan berkumandang di corong radio Wawasan.Fm menghidupkan lagi suasana perayaan di sekolah.

Rumah terbuka dianjurkan pihak sekolah menjemput segenap lapisan masyarakat bersama-sama atas semangat Muhibbah Rakyat Malaysia meraikan perayaan-perayaan tersebut.

Sekolah menjadi instrumen utama perpaduan dalam kalangan warga SMKPBP1 dipupuk dan disemai tanpa sebarang api kebencian perkauman yang didendangkan pada hari ini.

Berhenti menjadikan pendidikan sebagai alat mencapai matlamat politik. Ini sekolah bukan pentas sandiwara politik.

Kami ke SMKPBP1 untuk belajar bukan untuk membenci sesama rakan kami kerana perbezaan bangsa agama dan budaya. SMKPBP1 teruskan menyemarakan semarak perpaduan kerana ia adalah satu warisan kita yang kalis masa depan dan rentas zaman.

Pendidikan sepatutnya mekanisme menyatukan rakyat Malaysia secara telus tanpa unsur dan campur tangan pihak jahat yang berniat memporakperandakan keharmonian yang telah kita capai selama ini.

Kami meletakan sepenuh kepercayaan kepada pentadbir SMKPBP1 untuk mengemudi kami agar terus BERWAWASAN BERKETERAMPILAN DAN CEMERLANG!

MOHAMED AIMAN SHAH JOHAN SHAH

 

(Visited 833 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button