Ekonomi

Sekatan perdagangan: Harap kita tidak terlewat- Najib

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berharap agar segala langkah yang akan diambil kerajaan tidak terlewat terhadap kemungkinan akan dikenakan sekatan perdagangan.

Najib mengulas mengenai laporan media hari ini yang memetik kenyataan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad yang memberi amaran Malaysia berkemungkinan akan dikenakan sekatan perdagangan.

Menurut Najib, beliau pernah menulis mengenai lima risiko kepada negara yang patut kerajaan pimpinan Pakatan Harapan ambil perhatian terutama risiko sekatan ekonomi dari Amerika Syarikat.

Dalam tulisan yang disiarkan pada Mei lalu dalam Facebook beliau, Najib berkata, Malaysia telah disenaraikan sebagai salah satu daripada sembilan negara untuk dipantau sebagai manipulator mata wang.

Menurut Najib, pada bulan tersebut agensi berita antarabangsa, Reuters telah menerbitkan artikel yang menuduh kerajaan sedang bersubahat dalam penipuan untuk menolong negara Venezuela dan Iran mengelak sekatan ekonomi oleh Amerika Syarikat.

“Reuters kata, mereka ada bukti bahawa minyak yang diimport dari Venezuela dan Iran telah dilabelkan sebagai minyak Malaysia untuk dieksport semula kepada China.

“Sebab itu, eksport minyak dari negara kepada China telah meningkat pada tiga bulan yang lalu walaupun pengeluaran minyak dari Petronas jatuh sedikit,” tulis Najib.

Najib berkata, sebarang sekatan ekonomi atau kenaikkan tarif kepada Malaysia akan memberi kesan yang parah kepada ekonomi negara kerana Amerika Syarikat merupakan destinasi eksport ketiga terbesar Malaysia.

Dr. Mahathir hari ini dilaporkan berkata, Malaysia yang bergantung pendapatan terhadap eksport mungkin terjejas dilanda sekatan perdagangan akibat peningkatan perlindungan yang dikuatkuasakan susulan perang tarif Amerika Syarikat-China.

Dr. Mahathir tidak menyebut sumber mengenai kemungkinan sekatan ke atas negara di Asia Tenggara itu, tetapi berkata, beliau kecewa kerana perdagangan yang sepatutya bebas, kini terhad secara meluas.

“Malangnya, kita terperangkap,” katanya pada persidangan di Kuala Lumpur, merujuk kepada perang perdagangan AS-China.

“Dari segi ekonomi, kita terlibat dalam kedua-dua pasaran, dan secara fizikal kita juga terperangkap dari segi geografi. Ada kemungkinan kita juga akan menjadi sasaran sekatan,” katanya.

Menurut Reuters, Amerika Syarikat dan China adalah dua daripada tiga destinasi eksport terbesar buat Malaysia antara Januari dan Ogos tahun ini. Singapura adalah destinasi utama.

(Visited 178 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button