Politik

Sekarang masih kerajaan PN, cuma diketuai BN, kata Shahidan Kassim

Veteran UMNO yang juga Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim membayangkan beliau kini menjadi Menteri Wilayah Persekutuan di bawah pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Sambil mengingatkan bahawa jenama kerajaan hari ini tidak perlu dijadikan polemik, bekas pengerusi kelab penyokong kerajaan itu menjelaskan pentadbiran baharu yang ditubuhkan adalah Kerajaan PN, tetapi diketuai oleh Perdana Menteri daripada Barisan Nasional (BN).

Beliau yang mengetuai Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC) di bawah pertadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini berkata perbezaan lain ialah kerajaan sekarang bukan diterajui Bersatu.

Memetik kenyataan kepada MalaysiaNow, Shahidan – antara pemimpin lama UMNO yang kuat menyanggah presiden parti Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi – berkata:

“Pasal apa pula bukan kerajaan PN? Ini ialah BN-led government yang sekarang berada dalam PN. Bagi saya tidak ada polemik, ia diwujudkan sesetengah pihak untuk jadikan perbincangan. Pada saya tak perlu.”

Hujah Shahidan bahawa kerajaan sekarang masih PN diperkuatkan lagi dengan rancangan melantik seorang pengerusi baharu untuk mengetuai PNBBC bukan BNBBC.

Beliau dipetik sebagai berkata:

“Kita akan lantik pengerusi baru PNBCC, buat masa sekarang ia belum diubah apa-apa dan perkara ini tak perlu jadi polemik, kalau sekarang orang kata ini bukan kerajaan PN. Siapa pun yang dilantik kita akan beritahu.”

Semalam, Zahid menegur kerajaan pimpinan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob apabila menggesa Jemaah Menteri baharu berhenti daripada memberi alasan menjengkelkan dalam menjalankan tugas.

Bukan itu sahaja, malah Zahid juga dilihat seolah mengancam bekas menteri Kerajaan PN yang dilantik semula oleh Ismail Sabri membarisi Kabinetnya.

“Meskipun majoriti anggota Kabinet kerajaan lama, tetapi mereka kini berkhidmat di bawah kerajaan baharu. Maka seharusnya cara bekerja dan berfikir untuk rakyat serta negara dengan cara baharu.

“Tiada lagi sindrom penafian dengan alasan yang annoying (menjengkelkan),” kata Zahid.

Kerajaan PN tumbang apabila Muhyiddin meletak jawatan pada 16 Ogos lalu susulan tindakan Presiden UMNO itu membawa 14 Ahli Parlimen (MP) UMNO bersamanya menarik balik sokongan terhadap PN dan Muhyiddin.

Di penghujung hayat Kerajaan PN, dua menterinya, Datuk Seri Noraini Ahmad dan Datuk Shamsul Anuar Nasarah meletak jawatan dan menyertai kem Zahid.

Ismail Sabri yang mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 21 Ogos lalu, bagaimanapun melatik semula Noraini mengekalkan jawatan Menteri Pengajian Tinggi seperti ketika pentadbiran Muhyiddin.

(Visited 394 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button