Ekonomi

Sejuta ahli KWSP buat caruman sukarela, cecah RM11.16 bilion

SUMBANGAN sukarela Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencecah sejuta orang dengan deposit bernilai hingga mencecah RM11.16 bilion sehingga Oktober lalu.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, seramai 288,000 ahli aktif KWSP juga telah membuat caruman melebihi kadar berkanun iaitu 11 peratus.

“Melalui penstrukturan semula akaun KWSP, caruman Akaun Persaraan (Akaun 1) yang bertujuan sebagai simpanan persaraan telah ditingkatkan sebanyak 75 peratus berbanding 70 peratus sebelum ini.

“Langkah ini dilihat mampu mempercepatkan ahli mencapai Simpanan Asas,” katanya pada sidang Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Robert Lau Hui Yew mengenai strategi kerajaan dalam memastikan ahli KWSP mempunyai jumlah simpanan mencukupi ketika bersara.

Amir Hamzah berkata setakat 31 Oktober lalu, seramai 2.65 juta atau 36.2 peratus daripada 7.33 juta ahli aktif formal berumur 18 hingga 55 tahun telah mencapai simpanan asas mengikut umur berbanding 2.21 juta (30.4 peratus) daripada 7.25 juta ahli aktif formal pada Disember 2022.

Terdahulu Kementerian Kewangan dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat baru-baru ini berkata ketidakcukupan simpanan persaraan adalah disebabkan beberapa faktor seperti struktur gaji yang rendah selain umur yang layak untuk melakukan pengeluaran penuh iaitu 55 tahun adalah tidak selaras dengan umur persaraan Malaysia.

“Ini diikuti caruman yang tidak konsisten serta kadar celik kewangan dalam kalangan rakyat yang rendah menyebabkan kurang kesedaran terhadap kepentingan perancangan kewangan dan persaraan,” katanya dipetik.

Tambahnya, simpanan asas ialah satu jumlah simpanan dalam Akaun Persaraan yang ditetapkan KWSP bagi membolehkan ahli memperoleh simpanan sekurang-kurangnya RM240,000 pada usia 55 tahun.

Katanya, ia membolehkan ahli memperoleh jumlah minimum sebanyak RM1,000 setiap bulan pada tahun pertama persaraan.
“Namun kesan daripada gandaan dividen tahunan membolehkan nilai pengeluaran pendapatan persaraan bulanan bertambah dari tahun ke tahun.
“Kesan daripada gandaan dividen tahunan tersebut, jumlah pengeluaran bulanan dianggarkan boleh meningkat sehingga RM2,728 pada usia 75 tahun berdasarkan andaian jangkaan purata hayat penduduk Malaysia,” katanya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button