Politik

Sejarah buktikan cukup bilangan atau tidak, dakwaan Anwar lemahkan PM

PENGARAH Pendidikan Politik DAP Senator Liew Chin Tong mendakwa sama ada cukup bilangan atau tidak sejarah menunjukkan bahawa dakwaan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melemahkan kedudukan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin.

Chin Tong berkata, pada 16 September 2008, Anwar juga pernah mendakwa mempunyai cukup bilangan untuk membentuk kerajaan baharu.

Dakwaan Anwar itu menurut Chin Tong, telah melemahkan kedudukan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang merupakan perdana menteri ketika itu.

“Walaupun itu tidak berlaku, Abdullah Badawi yang merupakan Perdana Menteri ketika itu, terkesan teruk akibat dakwaan Anwar.

“Seteru-seteru Abdullah dalam UMNO, iaitu Najib dan Muhyiddin, berkonfrontasi dengan beliau pada 17 September dan memaksa beliau menyerahkan portfolio Kementerian Kewangan kepada Najib. Selepas kejayaan awal, Najib dan Muhyiddin sekali lagi bertemu Abdullah pada 25 September bagi menggesa beliau bersara, yang kemudiannya berlaku pada April 2009.

“Abdullah dikalahkan oleh Najib dan Muhyiddin, selepas Anwar melemahkannya di kaca mata umum,” kata Chin Tong dalam satu artikel yang disiarkan dalam lidah rasmi DAP, Roketkini.

Menurut Pengerusi DAP Johor itu, kedudukan Muhyiddin semakin lemah berikutan kenyataan Anwar itu dan mendakwa UMNO bersedia membantu Presiden PKR itu untuk melaksanakan operasinya.

Sementara itu, Chin Tong berkata, Muhyiddin boleh memerintah dengan sebuah kerajaan minoriti sekiranya beliau mampu memecahkan UMNO dan semua pihak lawannya tidak boleh bersepakat.

Muhyiddin juga boleh memilih untuk terus bersetuju dengan UMNO, contohnya dengan melantik seorang pimpin kanan UMNO sebagai Timbalan Perdana Menteri. Namun ini berisiko menjadikannya tawanan tanpa jalan keluar.

Pada 23 Ogos lalu Anwar mendakwa mempunyai majoriti hampir dua pertiga Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu sekali gus menumbangkan kerajaan pimpinanMuhyiddin.

Anwar dalam sidang media khas hari ini berkata, sokongan yang dianggap kukuh dan meyakinkan itu akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) sebaik baginda keluar daripada Institut Jantung Negara (IJN).

Bagaimanapun sehingga ini Anwar masih tidak menunjukkan sebarang bukti bahawa beliau telah mempunyai sokongan yang diperlukan untuk membentuk kerajaan.-SM

 

 

(Visited 109 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button