BanjirPolitik

Segerakan Bantuan Bencana Banjir Keluarga Malaysia

Jangan ada pilih kasih

RAMAI lagi mangsa banjir yang terkesan dan cuba bangkit secepat mungkin untuk meneruskan kehidupan dan rutin harian.

Justeru Naib Presiden MIC, Datuk T. Murugiah dalam satu kenyataannya menyarankan kepada kerajaan pelaksanaan segala inisiatif di bawah Bantuan Bencana Banjir Keluarga Malaysia disegerakan dan dipermudahkan demi meringankan kesan dan beban yang ditanggung oleh mangsa banjir di seluruh negara.

“Pakej Bantuan Bencana Banjir Keluarga Malaysia yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tempoh hari agak komprehensif.

“Ia membawa nafas lega buat ribuan keluarga yang terkesan. Proses pengagihan Bantuan Wang Ihsan sebanyak RM 1,000 setiap keluarga serta RM 10,000 kepada waris mangsa banjir yang terkorban juga agak sistematik, efektif dan lancar.

“Syabas kepada semua agensi kerajaan yang memastikan mangsa banjir menerima bantuan segera yang disediakan,” katanya.

Justeru beliau menggesa kerajaan agar memastikan bantuan lain yang disenaraikan disampaikan kepada mangsa banjir tanpa sebarang kelewatan dan tanpa karenah birokrasi agar kelangsungan kehidupan mangsa banjir terbabit terjamin.

Untuk rekod, selain Bantuan Wang Ihsan kepada mangsa banjir, Perdana Menteri turut mengumumkan beberapa lagi skim bantuan.

Ini termasuk bantuan pembelian barangan keperluan bernilai RM2,500, baucar pembelian barangan elektrik bernilai RM 500, bantuan pembaikpulihan kenderaan termasuk khidmat tunda percuma serta diskaun upah dan komponen dan juga rebat penuh bil elektrik bagi bulan Disember bagi mangsa banjir.

Turut diumumkan bantuan membaikpulih rumah yang terjejas dari RM 5,000 hingga RM 56,000 maksimum berdasarkan tahap kerosakan rumah.

“Rata-rata kesemua mangsa banjir menanti akan pencerahan mengenai mekanisme pelaksanaan bantuan yang diumumkan kerajaan.

“Saya berharap agensi kerajaan terbabit akan menjelaskan proses dan prosedur berkenaan di dalam masa terdekat,” kata Murugiah.

– Gambar BERNAMA

Beliau berkata, penilaian kerosakan rumah mangsa banjir dijalankan segera bagi membolehkan kerja-kerja baikpulih dimulakan.

“Saya percaya kerja-kerja tersebut akan dilaksanakan melalui khidmat kontraktor dan jangan pula ada unsur pilih kasih dalam perkara ini.

“Bilangan rumah mangsa banjir yang mengalami kerosakan adalah tinggi. Tawarlah kerja-kerja membaikpulih rumah berkenaan kepada semua kontraktor yang mampu melaksanakannya,” ujar beliau.

Dalam kenyataan yang sama, Murugiah berkata, ramai di kalangan mangsa banjir yang tinggal sehelai sepinggang, kehilangan segala harta benda mereka dan ada juga yang kediaman mereka ‘hilang’ sama sekali.

“Jangan biarkan karenah birokrasi ataupun syarat dan kriteria tertentu menyebabkan kelewatan penyampaian bantuan yang diumumkan,” kata Murugiah. – SM

(Visited 315 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button