Belang Bertempat

Halusnya permainan politik Kit Siang

SELEPAS menuduh Pas sebagai sebuah parti yang tidak boleh dipercayai, Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi terperangkap.

Pas membuktikan dakwaan bahawa parti itu dipelawa bekerja sama dengan kerajaan perpaduan adalah benar.

Dan pelawaan itu dibuat sendiri oleh Lim Kit Siang menjelang pilihan raya di enam buah negeri.

Sudah tentu Kit Siang sedar bahawa Umno sudah tidak mampu lagi menarik sokongan orang Melayu kerana dianggap sudah melacurkan prinsip perjuangan apabila bersekongkol dengan Dap.

Melihatkan dari luar ajakan itu tidak begitu signifikan, tetapi itulah halusnya permainan politik pemimpin veteran Dap.

Tujuan utama Kit Siang bagi memastikan Pas yang kini bersama-sama dengan Bersatu di dalam Perikatan Nasional merupakan gandingan dominan politik Islam dan Melayu berpecah.

Baca juga: “Saya pilih Pas, kerana saya perlu jawab di akhirat” – Annuar Musa

Selagi politik Melayu berpecah, matlamat Dap akan tercapai untuk memerintah negara ini.

Kononnya gabungan kerajaan perpaduan hari ini adalah terbaik untuk masa hadapan negara.

Bagaimanapun asas gabungan kerajaan hari ini sangat goyah kerana mereka meminggirkan dominasi politik Melayu yang merupakan majoriti penduduk negara ini.

Begitu juga bumiputera di Sabah dan Sarawak berasa tidak selesa dengan kedudukan mereka dewasa ini.

Puluhan tahun politik negara ini stabil, adalah berasaskan dominasi Melayu, Islam dan bumiputera.

Selepas enam bulan memerintah Dap kembali menunjukkan diri mereka yang sebenar dan jelmaan kerajaan PH 22 bulan kembali menyerlah.

Kerajaan yang gagal menunaikan segala janji dan mahu menghapuskan hak keistimewaan bumiputera dan Melayu, pada masa yang sama mengancam kedudukan Islam di negara ini.

Dap tidak pernah mengubah prinsip perjuangannya, tetapi hanya mengubah suai kaedah sahaja sehingga ke hari ini.

Orang Melayu majoriti tidak dapat menerima Dap bukan kerana isu kaum Cina dan sebagainya, tetapi perjuangan parti itu bertentangan kepentingan orang Melayu dan agama anutan mereka iaitu Islam.

Umno pula diguna sepenuhnya oleh pemimpin atasan untuk kepentingan peribadi semata-mata sehingga menyebab ramai pemimpinnya sendiri merasakan parti itu perlu ditidurkan bagi membolehkan ia diubati.

Rakyat pula mulai menjerit kerana dijangkakan harga minyak akan naik selepas kerajaan mengumumkan kenaikan tarif elektrik.

Alasan menaikan harga minyak dan tarif elektrik untuk menggalakkan penggunaan tenaga hijau juga sukar diterima rakyat yang merasakan semakin terhimpit dengan kos sara hidup yang meroket setiap hari.

Pada masa yang sama kerajaan lebih banyak berpolitik dengan melaksanakan dasar populis yang bukan sahaja mencederakan ekonomi negara, tetapi juga menyebabkan rakyat tertekan.

Oleh itu pilihan raya negeri kelak akan memberi kesan persepsi yang besar terhadap kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim selaku perdana menteri kesepuluh.

Jadi tidak hairan apabila ada pemimpin Umno yang terdesak mengugut rakyat bahawa negara ini akan ditimpa musibah jika kerajaan perpaduan ini diruntuhkan.

Ugutan terbuka dan terdesak semasa program di Negeri Sembilan jelas menunjukkan kedudukan yang tidak baik dan ura-ura bahawa pemimpin dari negeri berkenaan akan beramai-ramai menyertai Perikatan Nasional akan menjadi kenyataan.

Jika langkah berkenaan dijangka berlaku pertengahan bulan ini, akan membentuk gelombang besar di seluruh negara menjelang pilihan raya negeri.

Apa pun yang berlaku selepas ini biarlah ia demi kebaikan rakyat dan negara, bukan kerana kepentingan peribadi.

(Visited 771 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button