Nasional

Petronas sasar luaskan bekalan SAF kepada syarikat penerbangan antarabangsa

FIRMA minyak nasional, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) merancang untuk mengembangkan bekalan Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF) kepada syarikat penerbangan antarabangsa, kata Naib Presiden Eksekutif hiliran Datuk Sazali Hamzah.

Pada Mei tahun ini, anak syarikatnya Petronas Dagangan Bhd menandatangani perjanjian pengambilan SAF dengan Malaysia Aviation Group (MAG), syarikat induk Malaysia Airlines, sebagai sebahagian daripada usaha untuk membangunkan bahan api hijau pada skala komersial di Malaysia.

“Kami juga mencari syarikat penerbangan antarabangsa. SAF bukan sahaja untuk Malaysia tetapi juga Eropah kerana mereka sanggup membayar lebih tinggi,” kata Sazali kepada Bernama semasa lawatan media ke ibu pejabat Pasukan Mercedes-AMG Petronas F1 di Brackley, England. Bagaimanapun, beliau tidak mengulas lanjut mengenai rancangan itu.

Di bawah perjanjian dengan MAG, Petronas Dagangan akan membekalkan lebih daripada 230,000 tan SAF kepada syarikat penerbangan MAG – syarikat penerbangan nasional Malaysia Airlines, Firefly dan MASwings – dengan penghantaran pertama dijangka dari 2027 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Semasa Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) di Istanbul pada Jun, Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) mengumumkan jangkaannya untuk keseluruhan pengeluaran bahan api boleh diperbaharui mencapai kapasiti dianggarkan sekurang-kurangnya 69 bilion liter (55 juta tan) menjelang 2028.

SAF akan menyumbang sebahagian daripada pengeluaran yang semakin meningkat ini yang sedang dicapai melalui penapisan bahan api boleh diperbaharui baharu dan pengembangan kemudahan sedia ada. Yang penting, katanya, pengeluaran yang dijangkakan mempunyai jejak geografi yang luas meliputi Amerika Utara, Eropah dan Asia Pasifik.

Walau bagaimanapun, IATA telah menggesa syarikat penerbangan di Asia Pasifik untuk mengukuhkan kesediaan mereka dalam peralihan kepada mandat SAF, dibantu oleh dasar dan insentif kerajaan untuk menggalakkan peningkatan pengeluaran SAF. Ini disebabkan oleh pembangunan mandat SAF di Asia Pasifik tidak berkembang secepat di rantau lain.

Naib Presiden Serantau IATA bagi Asia Pasifik Philip Goh berkata pelbagai negara di rantau ini berada pada tahap kesedaran yang berbeza.” Jepun dan Singapura agak maju. Dalam kes Malaysia, kita telah berbincang dengan Kementerian Pengangkutan mengenai SAF dan dasar-dasarnya. Kami cukup gembira kerana pasukan petugas yang terlibat dalam pembangunan SAF dan dasar telah menjemput IATA untuk menyertai sebagai sebahagian daripada perbincangan,” kata Goh kepada Bernama.

Beliau berkata rantau Asia Pasifik perlu memulakan pembinaan pengeluaran SAF.” Ia akan mengambil masa beberapa tahun sebelum kita memerlukan perubahan material seperti dasar kerajaan yang menyokong lebih banyak pengeluaran SAF dan kami menyokong bahawa kerajaan harus memperkenalkan dasar yang mesra dan memberi insentif kepada pengeluarannya.

“Tidak bermakna untuk mengenakan mandat ke atas apa-apa apabila bekalan tidak mencukupi,” katanya. Putrajaya menggalakkan lebih banyak syarikat penerbangan tempatan menggunakan SAF untuk mengurangkan kadar pelepasan karbon di negara ini dan sejajar dengan usaha ke arah ekonomi rendah karbon.

Ini selain memenuhi komitmen di bawah fasa mandatori Skim Pengimbangan dan Pengurangan Karbon untuk Penerbangan Antarabangsa (CORSIA).-SM

Baca juga : UPSI anjur Program UPSI Prihatin Komuniti “Quit Vaping Now” beri kesedaran bahaya ‘Vape’

(Visited 41 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button