Politik

Ada tanah boleh ternak ayam telor macam Muhyiddin

KALAU ada tanah di kampung, boleh sahaja nak ternak ayam atau kambing atau lembu sekalipun. Kalau ada duit, tidak ada tanah, boleh sahaja beli sebidang tanah di luar ibu kota seperti di Janda Baik yang mana Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin lakukan.

Memang beliau ada sebidang tanah di Janda Baik yang dibeli entah tahun berapa dan di atas tanah yang dimiliki, bolehlah Muhyiddin ternak ayam. Nak ternak itek nila pun boleh, Tan Sri.

GAMBAR FACEBOOK NISA SULAIMAN- BOLEH ternak ayam kalau ada tanah dan boleh dibina reban.

Tetapi bagi rakyat marhaen yang tidak mempunyai kewangan yang kukuh, tanah apakah yang mampu dibeli sedangkan harga rumah pun berdentum tinggi!

Tidak semua dilahirkan di kampung yang mana mak ayah tinggalkan rumah kampung yang dibina di atas sebidang tanah yang boleh diusahakan apabila diwarisi.

Boleh juga ternak ikan air dalam tangki untuk makan sendiri, kalau yang makan ikan jenis tilapia. Bagaimanakah nasib yang tidak berkemampuan nak beli tanah, tidak makan ikan air tawar dan masih duduk menyewa rumah kerana tidak mampu nak beli rumah.

Ya tidak dinafikan ada pelbagai RUMAWIP, PPR tetapi berapa ramaikah yang memohon untuk penawaran yang terhad?

Elok sahaja disediakan tanah yang luas dan duduk dalam khemah. Tepi sungai, sumber air ada dan binalah jamban berak yang berfungsi denga baik.

Tiada elektrik, alternatifnya ialah generator. Nak jimat lagi, carilah ranting-ranting kayu untuk dijadikan kayu api, bukannya tebang pokok untuk dijual sebagai pendapatan tujuh keturunan tak habis makan!

Mudah sungguh bagi Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan beliau sudah mula menternak ayam penelur di kebunnya bagi kegunaan sendiri sebagai salah satu kaedah untuk menyelesaikan masalah bekalan telur di pasaran.

Pengerusi Perikatan Nasional itu berkata, berdasarkan kajian empirikal yang dilakukan oleh sekumpulan penyelidik ke atas 1,200 responden mendapati masalah yang paling ketara didepani rakyat adalah kos sara hidup.

Setakat 1,200 responden, bagaimanakah dengan 32 juta rakyat Malaysia yang termasuk dalam golongan tidak mampu untuk ternak ayam di kebun, tanam cili di kebun, tanam sayur di kebun kerana nak tanam dalam bag polistrin, keliling rumah, gantung atas para-para pun masih tidak mencukupi kalau anak ada lima orang!

“Jawapan yang paling jelas adalah masalah pertama adalah masalah kos sara hidup, masalah harga makanan yang tidak berhenti-henti, masalah bekalan makanan tak cukup, sampai telur pun tak cukup.

“Saya sudah mula pelihara ayam telur di kebun saya, satu hari 40 biji telur. Saya nak tunjuk boleh selesai masalah kalau kita usahakan sendiri,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PN Negeri Sembilan, malam tadi.

Sedar juga ya apabila Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, bukan semua berkemampuan atau mempunyai tanah yang boleh menternak 30 hingga 40 ekor ayam pada satu-satu masa.

Katanya, baru-baru ini ketika meninjau beberapa gerai di sekitar Taman Melawati, Kuala Lumpur dan beliau menerima rungutan daripada peniaga mengenai kenaikan harga barang.

Barang naik harga, Muhyiddin pun tak boleh nak buat apa-apa. Sekadar mendengar sahaja keluhan orang yang mengeluh.

Sama sahaja kalau mengeluh kepada stand up comedian bernama Kumar yang mana, ada aso (nyonya) mengadu, harga ayam naik.

“Saya tanya harga ayam berapa? RM10 lebih sekilo, zaman saya jadi menteri dulu RM6.40.

“Dia cakap itu zaman Tan Sri dulu, memang naik tapi naik sekarang RM10 sekilo,” dan zaman Tan Sri Muhyiddin jadi Menteri dan jadi perdana Menteri, tidaklah lama benar jaraknya. – SM

BACA PM setuju kekalkan subsidi ayam dan telur

(Visited 258 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button