Politik

Tiga jawatan utama Bersatu dijangka tidak dipertandingkan

TIGA jawatan utama Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dijangka tidak dipertandingkan pada pemilihan parti itu Jun ini.

Setiausaha Agung Bersatu Datuk Marzuki Yahya berkata kepimpinan parti di semua negeri menyatakan sokongan untuk memastikan jawatan Pengerusi, Presiden serta Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.

“Hari ini saya dapat laporan memang semua negeri memberi sokongan kepada tiga jawatan utama supaya jawatan tersebut tidak dipertandingkan dan tidak dicabar.

“Sebagai parti baharu memang kita minta pendirian semua kepimpinan bahagian dan negeri untuk beri sokongan penuh kepada pimpinan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan mesyuarat bersama kepimpinan Bersatu di peringkat negeri di ibu pejabat Bersatu di Yayasan Selangor hari ini.

Jawatan Pengerusi, Presiden serta Timbalan Presiden kini masing-masing disandang Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Selain itu, Marzuki berkata pihaknya telah memuktamadkan senarai ahli yang layak menghadiri persidangan parti pada 15 Feb hingga 29 Mac, iaitu seramai 381,811 melibatkan semua yang sah mendaftar sebagai ahli sehingga 31 Dis 2019.

“Senarai keahlian yang disahkan ibu pejabat sahaja yang layak menyertai persidangan…senarai cawangan dilampirkan dalam kertas berwarna kuning, Armada berwarna biru muda dan Srikandi berwarna merah jambu,” katanya.

Marzuki turut memaklumkan seramai 50 ahli telah digugurkan keahlian melibatkan mereka yang mempunyai dua keahlian parti politik dan kesalahan mensabotaj parti ketika Pilihan Raya Umum ke-14 yang lepas.  – BERNAMA

 

(Visited 1,058 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button