Nasional

Sebanyak 13 pusat tahfiz, sekolah pondok belum berdaftar

PUSAT Tahfiz dan sekolah pondok Islam swasta di negeri ini yang tidak berdaftar dengan
Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) diminta membuat pendaftaran segera bagi membolehkan sebarang bentuk bantuan disalurkan kepada mereka.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, sehingga kini sebanyak 13 daripada 86 institusi
pengajian itu masih belum membuat pendaftaran walaupun pihak terbabit telah dimaklumkan perkara tersebut sebelum ini.

Menurutnya, apabila institusi berkenaan berdaftar dengan JAIM adalah mudah sebarang bentuk bantuan dapat disalurkan sekiranya berlaku sebarang musibah.

“Bila mereka ini tidak berdaftar susah bagi kerajaan negeri hendak membantu jika berlaku musibah sebab kita tidak tahu pusat itu di mana, berapa tenaga pengajarnya dan pelajar.

“Sebaliknya, bila didaftarkan adalah mudah sebarang bentuk bantuan dapat disalurkan. Kerajaan negeri bukan hendak cari salah dengan pusat tersebut sebaliknya kita hendak membantu apa sahaja yang termampu.

“Setakat ini, saya puashati kerana hanya 13 daripada 86 pusat tahfiz dan sekolah pondok Islam masih belum berdaftar dan kita akan mempermudahkan urusan pendaftaran dengan bantuan JAIM,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Membina dan Menyiapkan Sekolah Menengah Tahfiz al-Quran Chenderah, Jasin dekat sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir, Datuk Rahmad Mariman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Khaidhirah Abu Zahar dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Datuk Ir. Ismail Abdul Rahman.

JAIM meletakkan kesemua pusat tahfiz (82), sekolah pondok Islam (17), sekolah rendah Islam Swasta (11) dan sekolah menengah swasta (5) di bawah Institut Pendidikan Islam (IPIS) yang keseluruhannya berjumlah 115.

Sementara itu beliau berkata, projek menyiapkan Sekolah Menengah Tahfiz al-Quran Chenderah yang menelan kos sebanyak RM12,136.80 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dijangka siap pada Jun 2024.

Menurutnya, projek yang dibina di atas tapak seluas 12.6 ekar itu akan dilengkapi dengan pelbagai
kemudahan prasarana seperti bangunan akademik meliputi pejabat pentadbiran, 15 bilik darjah, dataran (courtyard) serta bangunan sokongan yang mampu menampung seramai 450 orang pelajar.

“Pembinaan sekolah ini membuktikan bahawa kerajaan negeri prihatin terhadap usaha-usaha berkaitan pembangunan dan pengembangan syiar Islam khususnya kemudahan dan keselesaan rakyat dalam mendapatkan akses pendidikan agama bagi melahirkan masyarakat berilmu dan berpengetahuan Islam,” ujarnya. – SM Melaka

 

(Visited 291 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button