Ekonomi

Sebahagian keuntungan Wakaf Felda disalurkan untuk kebajikan

Sebanyak 30 peratus daripada keuntungan yang diperoleh Waqaf Felda akan diperuntukkan kepada kebajikan. Wakaf korporat berkenaan telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Wakaf yang dilhamkan oleh Pengerusi Felda Datuk Seri Idris Jusoh itu mempunyai matlamat untuk menyokong pembentukan model perniagaan baharu, menyemai benih keberkatan, menyuburkan kebajikan dan sumbangan kepada komuniti serta mengukuhkan kelestarian Felda.

Menurut Perdana Menteri, wakaf tersebut juga bagi memangkin ekonomi luar bandar melalui pewujudan peluang-peluang pekerjaan dan perniagaan yang biasanyatidak ditembusi oleh syarikat korporat lain dengan objektif lebih terarah kepada memaksimumkan keuntungan.

Menurut Ismail Sabri, Waqaf FELDA akan melaburkan semula sebahagian keuntungan pelaburan awal yang disumbangkan oleh FELDA sendiri dan agensi seperti FGV Holdings Berhads, Koperasi Permodalan Felda, dan MSM Holdings Berhad dan beberapa agensi berkaitan Felda yang lain.

“Ia bagi membolehkan Waqaf Felda ini ia dapat bergerak dengan lebih mampan sekali gus mampu memberi manfaat kepada lebih ramai warga Keluarga Malaysia yang memerlukan.


“Sebanyak 30 peratus keuntungan yang diperoleh Waqaf Felda ini akan diperuntukkan kepada kebajikan, 5 peratus akan disalurkan kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, manakala selebihnya akan dilabur semula,” katanya.

Tambah beliau, pelancaran Waqaf Felda itu menjadi bukti peranan penting intstitusi tersebut yang sentiasa terkehadapan dalam menyokong dan menjadi tunjang penting pembangunan ekonomi negara.

Peranan itu bersandarkan kekuatan semangat warga peneroka sejak 65 tahun lalu yang jauh datang merantau,
meninggalkan kampung halaman, ke kawasan FELDA yang jauh di pedalaman demi mengubah kehidupan keluarga masing-masing.

Sementara itu Ismail Sabri berkata, wakaf telah dijadikan sebahagian daripada kerangka Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Fokus Kelima dan Fokus Keenam RMKe-12 menggariskan peranan kritikal yang perlu dimainkan oleh institusi wakaf dalam membantu Keluarga Malaysia keluar daripada kepompong kemiskinan.

Menerusi Bajet 2022 kerajaan memperuntukkan dana permulaan sebanyak RM10 juta bagi memulakan inisiatif
Wakaf Halal Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), Wakaf Pertanian dan Wakaf Bencana.

Kerajaan juga sedang menyediakan Pelan Induk Wakaf Nasional, iaitu sebuah pelan holistik untuk memperkasa
pengurusan wakaf di Malaysia.-SM

(Visited 39 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button