Politik

Calon tidak disenarai jangan kecewa – Ab. Rauf

BARISAN Nasional (BN) Melaka meminta ahli parti yang tidak diumumkan sebagai calon untuk turun membantu mereka yang dipilih bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November ini.

Pengerusinya Datuk Ab. Rauf Yusoh berkata, nama mereka yang digugurkan oleh pucuk pimpinan parti UMNO dan BN perlu berlapang dada dan menterjemahkan semangat mereka melalui kemenangan bagi memastikan parti itu kembali menerajui negara.

“Kita (malam tadi) telah memberikan gambaran bagi calon yang tak terpilih sebagai calon apabila BN akan mengumumkan senarai penuh calon untuk PRU15 supaya menyokong mereka yang dicalonkan.

“Kita kena faham perjuangan kita bukan atas kapisiti individu tetapi adalah untuk memenangkan parti,” ujarnya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas BN Melaka di Ayer Keroh, malam tadi.

Sebelum pengumuman malam ini, tersebar mengenai calon-calon yang bertanding di enam kerusi Parlimen di Melaka iaitu Naib Presiden MCA, Datuk Lim Ban Hong akan bertanding di kerusi Parlimen Tangga Batu.

Perkara tersebut disahkan sendiri oleh Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad malam tadi dan mengambil sikap akur dengan keputusan pucuk pimpinan tertinggi BN yang memberi laluan kepada MCA bertanding di situ.

Selain itu Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Roslan Ahmad dijangka bertanding di Parlimen Jasin manakala Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Sharil Sufian Hamdan pula menjadi calon ‘payung terjun’ ke Alor Gajah.

Agak mengejutkan jika benar Setiausaha Politik Ketua Menteri yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Masjid Tanah, Abdul Hakim Abdul Wahid dikatakan bertanding di Parlimen Masjid Tanah dan bukannya Datuk Seri Sulaiman Md. Ali seperti yang diuar-uarkan sebelum ini.

Mengulas lanjut, Ab Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka berkata, gerak kerja BN Melaka sudah diatur dan bersedia mengharungi kempen selama 14 hari sebelum rakyat keluar mengundi pada 19 November ini.

“Seluruh jentera pilihan raya telah digerakkan bagi memastikan corak kerja yang kita buat masa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dapat diaktifkan semula bagi memastikan kemenangan di semua enam kerusi yang ditandingi,” ujarnya. – SM

(Visited 221 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button