Nasional

Sindiket penyelewengan diesel subsidi nalayan ditumpaskan

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mengemukakan laporan dan syor hasil dapatan yang diperolehi sepanjang pelaksanaan OPS TIRIS kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sebagai pengukuhan mekanisme kawalan pelaksanaan Skim Subsidi Diesel dan Petrol Nelayan.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, laporan dan syor ini merupakan penemuan-penemuan penting yang diperolehi sepanjang pelaksanaan OPS TIRIS 1.0 dan OPS TIRIS 2.0 yang bermula pada 1 Mac 2023 dan diteruskan pelaksanaannya hingga kini melalui OPS TIRIS 3.0.

Katanya, pelaksanaan pemberian diesel bersubsidi kepada nelayan merupakan salah satu fokus penguatkuasaan dalam menangani ketirisan subsidi diesel. Ia melibatkan risiko ketirisan dengan penjualan diesel bersubsidi kepada sektor industri yang tidak bekelayakan dan penyeludupan kepada nelayan asing.

“KPDN akan memperkukuhkan kerjasama dengan KPKM dan agensi-agensi penguatkuasaan yang berkaitan.
Terkini, pada 5 Mac 2024 yang lalu, KPDN Selangor bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi nelayan dalam satu serbuan yang dilakukan di daerah Sungai Besar, Selangor.

“Premis yang terlibat disyaki menjadi stor haram tempat penyimpanan dan pemindahan minyak diesel bersubsidi nelayan.

“Hasil serbuan dan pemeriksaan lanjut ke atas keseluruhan premis itu, pasukan penguat kuasa telah menyita sejumlah 24,875-liter minyak diesel dan peralatan lain yang digunakan untuk kegiatan penyelewengan. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM187,350.00.

“Seramai tiga orang lelaki rakyat tempatan berumur lingkungan 30 hingga 40 tahun telah ditahan yang disyaki wakil pemilik premis, pemandu kenderaan dan penjaga premis. Serbuan ini dibuat hasil risikan dan disyaki sindiket ini telah beroperasi dalam tempoh lama dan melibatkan penyelewengan subsidi diesel nelayan pada skala yang besar.

“KPDN ingin memberi amaran keras ke atas mana-mana individu atau syarikat yang berkaitan agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan. Mana-mana orang yang melakukan kesalahan melibatkan penyelewengan diesel boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya melalui kenyataan.

Selain itu, katanya, individu atau syarikat yang terlibat akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Kata Armizan, ia melibatkan kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat perlucutanhak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan minyak diesel.

“Berdasarkan statistik penguatkuasaan di bawah OPS TIRIS 3.0, sejak 1 Januari 2024 sehingga 6 Mac 2024 sebanyak 9,093 premis telah diperiksa di seluruh negara dengan 245 kertas siasatan telah dibuka. Hasil tindakan berjaya menyita sejumlah 2.264 juta liter subsidi diesel yang bernilai RM 5.391 juta,” katanya. – SM

(Visited 19 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button