Nasional

70 penerima Bakul Makanan bersyukur

Barangan dapur tak putus

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) bagai mimpi ngeri yang perlu dihadapi oleh setiap rakyat yang berpendapatan rendah.

Kesan teruk ini lebih dirasai oleh mereka yang bekerja dan dibayar upah secara harian ataupun berniaga kecil-kecilan di pasar tani dan sebagainya.

Sudahlah sebelum ini hidup ibarat ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’, sekelip mata juga hilang pendapatan sedangkan seisi keluarga perlu ditanggung makan dan minum.

Pengalaman pahit ini juga dirasai oleh Asyraf Kassim, 29, kerana hanya berharapkan upah harian apabila
melakukan kerja-kerja kampung.

Jelasnya, sekalipun pendapatan tidak seberapa tetapi cukup untuk menampung perbelanjaan seharian beliau sekeluarga dengan berjimat cermat.

“Hampir buntu saya memikirkan untuk menyediakan barangan keperluan dapur untuk isteri dan tiga anak apabila kerajaan umumkan PKP,” katanya yang tinggal di Santan.

Bagaimanapun beliau bernasib baik apabila menjadi penerima Bakuk Makanan yang disifatkan sangat diperlukan di musim PKP.

Bakul Makanan ini adalah sumbangan peribadi Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainal Abidin dan isterinya, Datin Camelia Yahaya.

Majlis penyampaian Program Bakul/Kotak Makanan untuk penduduk Parlimen Padang Besar dilakukan oleh Camelia di Dataran Terinai, Timah Tasoh, Jalan Kaki Bukit, Padang Besar petang semalam.

Jelas Camelia, sekurang-kurangnya setiap Bakul Makanan yang bernilai RM50 ini mampu memgurangkan sedikit beban golongan yang terkesan akibat PKP.

Sementara itu, Norshimah Nordin, 61, ibu tunggal dari Mata Ayer tidak menyangka nasib menyebelahinya kali ini apabila dipilih sebagai penerima Bakul Makanan.

“Saya bersyukur kerana Bakul Makanan ini menjadi penyelamat bagi menampung perbelanjaan dapur,” katanya.

Norshimah mengakui hilang pendapatan kerana tidak dapat menjual benih pokok di pasar Tani semasa PKP. – SM

(Visited 433 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button