Negeri

Tapak pembinaan sekolah sukan diserbu, 49 warga asing ditahan

SEBANYAK 49 warga ditahan apabila Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perlis melakukan serbuan di tapak pembinaan Sekolah Sukan Malaysia Perlis, Fasa 1 di Bukit Chabang, Titi Tinggi, Padang Besar, pukul 1.10 pagi ini.

Pengarahnya, Khairul Amin Talib berkata, hasil OP SAPU ini mendapati warga asing yang ditahan ini dipercayai tidak memiliki dokumen yang sah dan telah tinggal lebih masa di Malaysia.

Salah seorang pegawai JIM Perlis melakukan pemeriksaan ke atas warga asing semasa serbuan di tapak pembinaan Sekolah Sukan Malaysia Perlis, Fasa 1 di Bukit Chabang, Titi Tinggi, Padang Besar. – Gambar Ihsan JIM Perlis

Beliau berkata, dari jumlah itu ia melibatkan tiga lelaki warga Indonesia, seorang lelaki warga India, 44 lelaki warga Bangladesh dan seorang perempuan warga Bangladesh.

“Kesemua yang ditahan ini berusia antara 19 hingga 54 tahun,” katanya dalam kenyataan media petang ini.

Khairul Amin berkata, semua warga asing berkenaan kini ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Kuala Perlis, Perlis untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Beliau berkata, kesemua mereka dipercayai dengan munasabah telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana telah tinggal lebih masa di Malaysia dan Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana melindungi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

“Serbuan OPS SAPU dibuat berdasarkan hasil pemantauan dan risikan yang telah dijalankan oleh Unit Tindakan Imigresen, Bahagian Penguatkuasaan JIM Perlis di lokasi berkenaan,” katanya.

Salah seorang warga asing cuba menyorok bawah katil semasa JIM Perlis melakukan serbuan di tapak pembinaan Sekolah Sukan Malaysia Perlis, Fasa 1 di Bukit Chabang, Titi Tinggi, Padang Besar. – Gambar Ihsan JIM Perlis

Berikutan itu, katanya, dengan kekuatan anggota seramai 17 orang Pegawai Imigresen pelbagai pangkat, pemeriksaan telah dijalankan ke atas 101 orang warga asing.

Khairul Amin berkata, JIM Perlis tidak akan berkompromi sama sekali terhadap warga asing yang tinggal secara haram, menyalah guna pas dan melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak bermoral di negara ini.

Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji atau melindungi PATI. – SM

(Visited 2 times, 2 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button