Nasional

Sayang sekali bila tidak peka tolak ansur orang Melayu…

KOMENTAR

ADA ketikanya Suara Merdeka sedang duduk merenung-renung kemelut politik tanah air kita ini, terdetik di hati rumusan ini:

“Mengapalah setelah memegang tampuk kuasa tempoh hari (9 Mei 2018), ada parti tertentu tidak dengan pantas mengambil inisiatif menarik hati orang Melayu.

“Atau sekurang-kurangnya mendekatkan diri dengan pertubuhan-pertubuhan politik Melayu yang konon apa yang dilabelkan musuh-musuh politik mereka.”

Suara Merdeka teringat kisah dekad 1960-an di Singapura. Pemimpin PAP, Lee Kuan Yew dalam usaha mendapatkan sokongan Melayu melakukan apa sahaja untuk berinteraksi dan mendampingi orang Melayu.

Biarpun diketahui motifnya, mendiang aktif dengan mengenakan songkok melawat masjid dan surau sambil memberi ucapan bagi melegakan orang Melayu.

Apabila Kuan Yew dan PAP semakin kukuh berkuasa, akhirnya Melayu tidak lagi diberi perhatian yang sama.

Di Singapura, azan dari masjid dan surau pun perlu diperlahankan walaupun dulu Kuan Yew tidak kisah dengan suara azan yang kuat berkumandang.

Tetapi sekurang-kurangnya Kuan Yew berusaha mendekatkan dirinya dengan orang Melayu.

Sejarah membuktikan orang Melayu adalah kaum yang begitu bertolak ansur di dunia.

Contohnya, menerusi prinsip jus soli, dikatakan kira-kira 980,000 orang bukan Melayu (tidak berkerakyatan atau stateless persons) secara en-bloc diberikan kerakyatan percuma oleh kerajaan.

Sebagai balasannya, kaum-kaum lain diminta menerima bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini serta menyetujui Islam dijadikan agama rasmi negara. Dan menerima beberapa hak istimewa Melayu, misalnya dalam bidang perkhidmatan awam.

Apa yang berlaku ialah warisan atau sejarah ini dikekalkan dalam negara Melayu yang merdeka. Yakni yang dibebaskan daripada penjajahan British. British menjajah Tanah Melayu, negeri dan kerajaan Melayu dan bangsa Melayu. Bukannya negeri, kerajaan dan bangsa bukan Melayu.

Ini memang disedari kaum-kaum bukan Melayu. Kerana itulah apabila orang Melayu bangkit menentang gagasan atau muslihat Malayan Union antara 1946 hingga 1948 , kaum-kaum lain tidak menyokong atau tidak ikut menentangnya. Mereka anggap Malayan Union itu masalah antara Melayu, kerajaannya serta raja-raja Melayu dengan kerajaan British.

Lagipun, pada masa itu mereka bukan rakyat Tanah Melayu, yakni bukan rakyat raja-raja Melayu. Maka tentulah rasa taat setia kepada kerajaan atau raja Melayu tidak ada dalam hati mereka. Mengapa mereka mesti menentang British untuk mempertahankan kedaulatan raja-raja Melayu?

Tetapi oleh kerana salah satu isu yang dibangkitkan oleh pihak British ialah isu perpaduan kaum setelah pihak British meninggalkan Tanah Melayu (seolah-olah semasa British memerintah negara waktu itu, kaum-kaum itu bersatu padu) maka orang Melayu dan pemimpin kaum-kaum lain bersetujulah mencari `formula’nya.

Dari situlah timbulnya semangat tolak ansur tadi dan sebahagian daripada formula tolak ansur ini dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang digubal Suruhanjaya Reid.

Anggota suruhanjaya semuanya orang luar, dari England, dari India, Pakistan dan Australia. Tidak ada seorang pun wakil Melayu atau wakil kaum-kaum lain yang duduk dalam suruhanjaya itu.

Selain formula yang diperlembagaankan itu, terdapat pula tolak ansur lain. Misalnya, kuasa politik dan pemerintahan Persekutuan Tanah Melayu hendaklah dikongsi oleh orang Melayu dengan orang bukan Melayu. Maka dibentuklah Parti Perikatan UMNO-MCA-MIC yang memerintah negara ini dari 1957 hinggalah 9 Mei 2018.

Dan kalau benarlah Malaysia mahu terus menjadi negara yang aman dan damai dengan penduduk pelbagai kaumnya hidup bersatu padu, formula tolak ansur yang asal itulah patut dipertahankan dan dihormati,

Jangan dipersoalkan, dijadikan isu lagi dan dicairkan dengan pelbagai tuntutan dan desakan lain. Atau dimusnahkan dengan pelbagai tolak ansur lain yang dibuat oleh mana-mana kaum berdasarkan kepentingan politik, budaya dan ekonomi etnik masing-masing.

Realiti yang kita dengari, orang Melayu mesti mengekalkan `ketuanan’ nya atau menjadi bangsa contoh di negara ini. Boleh saja formula tolak ansur yang dipersetujui pada 1957, seperti yang tersebut di atas, `ditolakansurkan’ lagi melalui persaingan yang lebih pragmatik.

Bangsa yang lemah tidak mampu bertolak ansur secara beralah atau secara mengalah. Mereka akan hadapi masalah untuk mengekalkan apa jua hak yang masih ada padanya dalam dunia yang nasibnya tidak lagi dapat diselamatkan melalui ideologi tolak ansur yang formal itu.

Melainkan, diselamatkan melalui kecekapan bangsa itu – menerusi daya saingnya dalam segala bidang. Dan lebih penting lagi melalui kecekapan dan kebijaksanaan para pemimpinnya. Pemimpin yang tidak mempunyai kualiti moral yang tinggi dan korup misalnya, pasti tidak akan dapat menyelamatkan bangsanya.

Walhasil, tolak ansur tidak sama dengan perbuatan sorong papan tarik papan atau seperti permainan tarik tali dengan satu pihak melonggarkan tarikan talinya manakala satu lagi menarik tali yang sudah longgar itu.

Jika ‘permainan diplomasi’ seperti ini terus berlaku di negara ini, belum tentu perpaduan antara kaum akan dapat berkekalan.

Orang Melayu tidak pernah menentang hak agama lain dan kemewahan yang diperoleh.

Orang Melayu sanggup berkongsi kuasa dan memberikan pelbagai kemudahan kepada bangsa lain.

Malaysia adalah satu-satunya negara yang mempunyai begitu banyak cuti demi merayakan pelbagai perayaan agama lain. Malaysia juga satu-satunya negara yang mempunyai pelbagai aliran sekolah mengikut bangsa.

Orang Melayu bukanlah satu bangsa yang suka mencari pergaduhan. Tetapi rasa sangat cinta pada perdamaian.

Jauh sekali rasis. – SM

(Visited 583 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button