Kebakaran

“Sayang, saya tak akan tinggalkan awak,” raungan suami Nurul Nazihah

SABTU lalu tidak akan dilupakan buat selama-lamanya oleh seorang suami yang tidak berdaya untuk menyelamatkan isterinya apabila kereta yang dipandunya terlibat dalam satu kemalangan jalan raya sehingga menyebabkan kereta itu terbakar.

Kejadian pada 15 Oktober lalu di Lebuh Raya Utara- Selatan sebelum tiba di simpang Sedenak-Kulai, Johor amat menyayat hati apabila video merakamkan suami kepada mangsa menangis dan meraung memanggil isterinya yang gagal diselamatkan, duduk di tempat duduk penumpang bahagian hadapan kereta yang sedang terbakar.
Kemalangan maut itu membabitkan sebuah lori 5 tan yang melanggar tiga kereta di lokasi kejadian.

Dalam tangisan yang menghibakan, suami mangsa berkata, “Awak saya tak akan tinggalkan awak sayang.”
Itulah kata-kata yang diucapkan oleh Redzuan Jamil, 28, yang tidak sempat untuk menyelamatkan isterinya di dalam kereta yang terbakar.

Redzuan yang mengalami luka-luka di bahagian mukanya, sempat keluar dar kereta sebelum kereta yang dipandunya itu tiba-tiba terbakar.
Isterinya pula tidak sempat untuk diselamakan kerana kaki mangsa dikatakan tersepit di bahagian dashboard kereta.

Kata Redzuan, semasa kejadian kereta jenis Proton Wira miliknya dilanggar oleh sebuah lori dari arah belakang.

Lebih memilukan hatinya apabila ayat terakhir yang diucapkan oleh isteri tercintanya, Nurul Nazihah Kamalul Ariffin, 28, menyuruh suaminya keluar dari kereta untuk menyelamatkan diri.

“Awak keluar dulu” itulah ungkapan terakhir dari mulut isteri kepada Redzuan.

Redzuan yang bekerja sebagai ejen takaful mengakui sehingga ke hari ini, dirinya mengalami trauma.

Mangsa ditemukan dalam keadaan duduk dan pihak polis yang tiba di tempat kejadian memaklumkan mangsa tidak rentung.

Jenazah Allahyarhamah Nurul Nazihah telah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Temenin, Kampung Lukut, Kota tinggi, Johor.

Salam takziah daripada warga kerja SUARA MERDEKA buat Redzuan dan ahli keluarga Allahyarhamah Nurul Naziah. Al-Fatihah. – SM

(Visited 648 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button