Nasionalpilihan

50,000 pengunjung meriahkan Hari Kebangsaan di Melaka

Selepas tiga tahun ekoran pandemik Covid-19 ini kali pertama sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka disambut paling meriah dan mencipta keunikan tersendiri apabila menyaksikan kehadiran lebih 50,000 pengunjung.

Sejak pukul 7.00 pagi orang ramai daripada berbilang kaum mula membanjiri hadapan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Banda Hilir termasuk di sepanjang laluan dari Bangunan Merah hingga ke Jalan Hang Tuah.

Perarakan itu turut diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam; Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh serta Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco); Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan pegawai kerajaan negeri.

Sebahagian daripada orang ramai menyaksikan perarakan sambutan Hari Kebangsaan ke-66 di hadapan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir, Melaka.

Perarakan serta perbarisan yang diadakan di hadapan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Banda Hilir di sini hari ini buat pertama kali disertai hampir 10,000 peserta daripada 179 kontinjen daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta.

Lebih menarik sebanyak 773 aset pasukan beruniform dan kenderaan jabatan serta agensi kerajaan serta swasta yang mengambil bahagian dalam acara perarakan dan perbarisan pada hari ini.

Sambutan kali ini ada keunikan tersendiri apabia sebanyak 12 bot Melaka River Cruise (MRC) dan dua jet ski daripada kontinjen Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) menyertai perarakan tetapi berlangsung di Sungai Melaka.

Perarakan itu disertai kira-kira 300 peserta melibatkan kakitangan agensi tersebut serta 200 orang pesilat daripada Persatuan Seni Silat Kunci Melayu Melaka mengenakan pakaian persilatan Melayu, pakaian kebangsaan dan bertemakan patriotik.

Bot MRC bergerak dari Taman Rempah hingga ke Muara Sungai itu turut dipancarkan secara langsung menerusi skrin gergasi yang diletakkan di beberapa lokasi strategik di Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem berkata, sambutan kemerdekaan kali ini diadakan semula selepas tiga tahun dihentikan berikutan pandemik Covid-19.

“Ia diadakan dengan penuh gilang-gemilang pada kali ini selepas tiga tahun tidak dilaksanakan selepas pandemik Covid-19 melanda dunia pada penghujung 2020 lalu.

“Justeru kerajaan negeri mengembalikan sambutan pada kali ini agar masyarakat dapat meraikan dan menghayati semangat kemerdekaan negara,” katanya kepada pemberita selepas sambutan itu di sini hari ini. – SM

 

(Visited 78 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button