Nasional

Saya tidak pernah sembunyi fakta tentang ekonomi- Tengku Zafrul

MENTERI Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz tampil memberi penjelasan berkaitan laporan yang diberikan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata,  laporan yang diberikan kepada Muhyiddin merupakan sebuah laporan yang diberikan kepada sekretariat Majlis Pemulihan Negara (MPN), seperti mana laporan-laporan lain yang diberikan rakan-rakan kabinetnya tidak kira dari mana-mana parti.

“Sebagai Pengerusi MPN, beliau memerlukan laporan-laporan tersebut untuk mengambil keputusan yang tepat dalam membantu Perdana Menteri membawa Malaysia ke arah pemulihan pasca-COVID.

“Malah, fakta-fakta ekonomi yang ada di dalam laporan tersebut merupakan fakta yang telah saya sebut berulang kali kepada kabinet dan orang awam.

“Saya tidak pernah sorok, baik melalui kenyataan media, ulasan saya dalam forum-forum, jawapan-jawapan parlimen dan laporan-laporan agensi seperti Bank Negara, Jabatan Statistik dan sebagainya,” katanya melalui satu hantaran di akaun Facebook miliknya.

Beliau berkata, sejak tahun lalu, beliau telah menerangkan mengenai Akta Tanggungjawab Fiskal untuk mengelakkan isu-isu seperti 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan Projek Suria Synergy Energy Resources Sdn Bhd (SSER) daripada berlaku lagi.

“Saya pun dah terangkan dengan jelas melalui artikel saya yang diterbitkan oleh beberapa media tempatan pada 5 Februari lalu.

“Umum tahu keadaan ekonomi negara buat masa ini, terutamanya selepas kesan negatif yang dibawa oleh Covid. Namun seperti yang saya sebut, fokus utama kita sekarang adalah untuk memacu pemulihan negara agar rakyat dapat kembali hidup dengan selesa,” katanya.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata menjana pekerjaan, membawa pelaburan, membantu perniagaan adalah antara banyak strategi yang telah di rancang untuk memacu pemulihan melalui dua tunggak utama iaitu JaminKerja dan SemarakNiaga.

Beliau juga berharap kita dapat terus memberi keutamaan yang paling penting kepada pemulihan ekonomi untuk rakyat.

“Kita berada di atas landasan yang betul di mana aktiviti ekonomi, baik dari perspektif makro, perniagaaan atau individu sedang beransur pulih dengan pantas berdasarkan indikator-indikator seperti pasaran kerja dan sebagainya.

“Saya yakin kita dapat pulih mengikut perancangan dan menjana ekonomi sekaligus terus membawa keyakinan kepada pelabur untuk terus datang ke Malaysia,” katanya. -SM

(Visited 326 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button