Nasional

Saya tidak pernah mimpi lihat Putrajaya berusia 25 tahun – Dr Mahathir

PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak pernah bermimpi untuk menyaksikan Putrajaya mencecah usia 25 tahun pada 2020, selepas melancarkan pusat pentadbiran Persekutuan itu pada 29 Ogos 1995.

Berucap pada majlis pelancaran sambutan Jubli Perak Putrajaya dan majlis penutup Festival Light and Motion Putrajaya (LAMPU) 2019 pada ambang tahun baharu 2020 malam ini, Dr Mahathir berkata hasil kerjasama, perpaduan dan keamanan yang dikecapi, Putrajaya kini membangun sebagai sebuah ibu kota pentadbiran yang gilang-gemilang.

“Saya amat gembira kerana dapat juga melihat Putrajaya ini berumur 25 tahun. Sayangilah Putrajaya dan sayangilah Malaysia negara kita bersama,” kata perdana menteri yang berusia 94 tahun itu.

Pada majlis itu, Dr Mahathir menyempurnakan gimik pelancaran sambutan Jubli Perak Putrajaya dengan meletakkan tangan di ‘launching pad’ diikuti dengan pelancaran logo rasmi sambutan itu disertai dengan percikan bunga api dari Istana Kehakiman.

Logo sambutan jubli perak Putrajaya itu hasil ciptaan Mohd Zaidi Abdullah dari Cyberjaya yang memenangi pertandingan anjuran Perbadanan Putrajaya (PPj) yang telah menerima 62 penyertaan.

Sementara itu, Presiden PPj Datuk Dr Aminuddin Hassim ketika ditemui Bernama berkata Putrajaya akan menjadi tuan rumah kepada lebih 200 acara peringkat kebangsaan dan bertaraf antarabangsa sepanjang 2020.

Daripada jumlah itu, katanya, kira-kira 30 peratus acara berteraskan kepada sambutan jubli perak Putrajaya, dengan kemuncak sambutan diadakan pada Ogos.

Beliau berkata sembilan acara menarik dirancang pada Ogos, dengan acara kemuncak sambutan ulang tahun ke-25 akan diadakan pada 29 Ogos.

Pada 29 Ogos itu, Dr Mahathir akan mengeluarkan dan membuka kapsul masa yang ditanamnya sendiri di Taman Putra Perdana, Presint 1 ketika beliau melancarkan Putrajaya pada 29 Ogos 1995, semasa menjadi Perdana Menteri keempat, katanya.

“Kapsul masa itu antara lain mengandungi beberapa dokumen penting tentang sejarah dan perkembangan Putrajaya termasuk dokumen berkenaan Akta Perbadanan Putrajaya 1995 [Akta 536] tentang penubuhan Putrajaya,” katanya.

Pada sebelah malamnya pula, sambutan diteruskan dengan persembahan orkestra dan pertunjukan bunga api di tepi tasik di Putrajaya.

Difahamkan, pada 29 Ogos itu juga kapsul masa baharu akan ditanam untuk dibuka semula pada sambutan jubli emas Putrajaya.

Dr Mahathir kembali menerajui kerajaan sebagai Perdana Menteri ketujuh selepas Pakatan Harapan pimpinannya memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018.

Aminuddin berkata Putrajaya menerima purata antara lima dan enam juta pengunjung setiap tahun, antara lain kerana tarikan seni bina bangunan dan infrastruktur wilayah itu yang unik.

Putrajaya juga memiliki 13 taman hijau bertaraf dunia serta tasik buatan yang diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai satu daripada warisan dunia iaitu ‘World Eco-hydrological Site’ yang telah menjadi perhatian dunia. – BERNAMA

(Visited 387 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button