BeritaPolitik

Saya tidak pernah campur tangan dengan mahkamah

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau tidak pernah campur tangan dengan mahkamah termasuklah kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mahathir berkata, beliau akur apabila mahkamah memutuskan parti beliau sebagai tidak sah dan beliau tidak membantah, bahkan mengikut dengan cara betul.

Bagaimanapun beliau terkejut kerana Najib terkejut apabila diperintahkan membela diri membabitkan kes SRC.

“Saya terkejut yang dia terkejut,” kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad susulan reaksi ‘terkejut’ Datuk Seri Najib Tun Razak selepas diperintahkan membela diri terhadap semua tujuh pertuduhan berkaitan dana SRC International Sdn Bhd, lapor Bernama.

Perbicaraan bekas Perdana Menteri itu mengambil masa berbulan-bulan dengan mematuhi peraturan undang-undang, katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Dia diikat jamin, pergi berkempen. Dia mengalami sakit mata tetapi bila berkempen okay sahaja, bila ke mahkamah tak boleh (menghadiri perbicaraan).

“Semua karut-marut ini yang kita dapat daripada dia susulan kita berlembut dan mematuhi undang-undang,” kata beliau.

Najib diperintah membela diri terhadap semua tujuh pertuduhan menyeleweng membabitkan RM42 juta daripada dana SRC International Sdn Bhd.

Menurut peguam belanya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Najib terkejut dengan keputusan Mahkamah Tinggi di sini kerana menjangkakan beliau dibebaskan bagi semua pertuduhan pada akhir kes pendakwaan.

Sementara itu beberapa pihak mahu Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam didakwa tidak menghormati undang-undang dan menghina mahkamah apabila mempertikaikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atas pertuduhan SRC International Sdn Bhd dan memerintahkannya untuk membela diri.

Ahli Biro Perundangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Saiful Ambar Abdullah Ambar dalam satu kenyataan berkata, tidak wujud sebarang campur tangan politik dalam urusan pertuduhan dan keputusan terhadap Najib.

“Meskipun pada pandangan Lokman bahawa tiga saksi penting tidak dipanggil itu ‘dilihat’ semacam cacatnya kes pendakwaan tapi saya percaya peguam Najib lebih arif dalam hal ini dan biarlah orang yang ‘ahli’ saja mengendalikan hal ini.

“Beliau tidak perlu untuk menjadi ‘peguam tidak bertauliah’ kepada Najib. Bahkan, perbicaraan masih belum selesai dan Najib masih lagi mempunyai ruang semasa peringkat pembelaan nanti,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan Lokman yang mempertikaikan perjalanan kes SRC International Sdn Bhd yang disifatkannya mencurigakan apabila tiga saksi penting tidak dipanggil memberi keterangan.

Lokman turut mendakwa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad campur tangan dalam pertuduhan yang dihadapi Najib.

Saiful Ambar yang juga seorang peguam berkata, tuduhan pemimpin UMNO terbabit hanyalah mencari alasan dalam keadaan penafian.

“Tuduhan biadab Lokman terhadap Dr Mahathir hanyalah menggambarkan betapa dangkalnya pemikiran dan menunjukkan wujudnya ketakutan melampau terhadap hukuman yang kemungkinan besar boleh dikenakan atas salah laku, rasuah dan penyelewengan oleh bekas-bekas pimpinan negara, bekas anggota kabinet bahkan mereka yang bersubahat dalam penyelewengan tersebut.

“Malaysia Baru pasca rejim Barisan Nasional (BN) oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah pimpinan Mahathir dengan jelas menjunjung tinggi kebebasan institusi kehakiman dan komited untuk memastikan segalanya berjalan mengikut ‘rule of law’,” katanya.

(Visited 109 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button