Hiburan

Ruhainies mohon maaf, sedia berjumpa Bella Astillah

SELEPAS kontroversi di tangkap khalwat dengan Aliff Aziz, Ruhainies tampil mengeluarkan kenyataan di Instagram termasuk memohon maaf kerana mendiamkan diri.

Malah dia sedia bertemu empat mata dengan isteri pelakon itu, Bella Astillah bagi mencari jalan penyelesaian terhadap situasi tersebut.

“Saya ingin memohon maaf kerana membiarkan perkara ini berlarutan tanpa kenyataan dan menyebabkan beberapa pihak memanipulasi pelbagai fakta yang tidak benar dan tidak tepat.

“Saya sayangkan persahabatan saya dengan Bella dan saya berharap agar dia dan aliff tidak akan berpisah.

“Saya juga bersedia untuk berbincang dengan Bella apabila dia sudah bersedia,” katanya.

Menurut Ruhainies, dia dan Aliff hanya kawan biasa dan mereka ketika ini sedang bekerjasama menjayakan sebuah drama.

“Aliff merupakan rakan dan kenalan keluarga saya termasuk adik beradik saya sejak 10 tahun lepas,” katanya.

Menurut Ruhainies, Aliff berada di kondominium itu pada masa kejadian adalah atas jemputan untuk makan malam bersama dia, keluarganya serta rakan terdekat.

“Pada hari itu, saya baru selesai menjalani penggambaran dan konvoi bersama pembantu peribadi saya menuju ke rumah.

“Hari itu juga, adik beradik saya memang merancang untuk tidur di rumah. Jadi, kami rancang untuk makan bersama dengan beberapa rakan yang lain.

“Jadi, memandangkan Aliff juga baru selesai menjalani penggambaran, saya jemput dia untuk turut serta kerana dia juga mengenali keluarga serta adik beradik saya sejak 10 tahun lalu. Aliff bersetuju sebab dah lama tak berjumpa mereka,” ujarnya.

Menurut Ruhainies, dia dan Aliff pada hari kejadian hanya diminta memberi keterangan ketika proses siasatan yang dilakukan pihak Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI).

Katanya, dia dan Aliff mematuhi prosedur yang ditetapkan pihak berkuasa untuk memberi keterangan kepada JAWI.

“Saya mengakui kekhilafan saya di sisi agama, kerana berada dalam situasi itu yang mana sekali gus menimbulkan syak wasangka yang seharusnya dapat dielakkan.

“Siasatan telah dijalankan oleh pihak JAWI dan saya berikan kepercayaan penuh terhadap mereka. Saya juga ingin berterima kasih kepada pihak JAWI atas kerjasama, penjagaan penuh yang diberikan kepada saya semasa kejadian tersebut berlaku, dan siasatan telus yang telah dibuat oleh pihak JAWI,” ujarnya.

Ekoran kejadian itu, Bella pada Isnin lalu telah memfailkan permohonan cerai terhadap Aliff di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur. – SM

(Visited 77 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button