Politik

Saya tidak letak jawatan – Mohd. Redzuan

SUDAH masuk kali kedua spekulasi berlegar menyebut Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof meletak jawatan sebagai menteri namun kali ini beliau menafikan sambil mengingatkan kepada pihak terbabit “jangan heret negara sekali lagi ke kancah politik tidak menentu”.

“Saya menegaskan ia adalah tidak benar dan saya berpendapat ada kumpulan tertentu yang berkepentingan mahu menggugat kestabilan politik negara.

“Sekali lagi saya ulangi, saya tidak meletak jawatan. Malah terus bekerjasama dengan barisan Kabinet yang dipimpin oleh YAB Perdana Menteri untuk memantapkan pentadbiran dan pengurusan negara terutamanya dalam keadaan ekonomi yang sangat mencabar akibat wabak COVID-19,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) itu dalam satu kenyataan kepada SUARA MERDEKA hari ini.

Mengenai situasi politik dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Mohd Redzuan enggan mengulas lanjut kerana telah diperjelaskan menerusi kenyataan media oleh Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin pagi ini.

“Bagaimanapun, saya ingin menegaskan di sini dan memberi keyakinan kepada ahli-ahli bahawa BERSATU tidak akan lari dari landas-landas perjuangan asal mengikut perlembagaan, dasar dan peraturan yang sama-sama saya membantu mengasaskannya.

“Justeru, akar umbi sama ada yang lama, yang awal, yang baharu, saya menyeru marilah BERSATU di bawah satu saf dan kepimpinan untuk kesinambungan dan kelestarian “Perjuangan Kita” – Bersatu, Beramanah, Bermaruah. Parti bukan pengasas punya, bukan pimpinan punya tetapi ia adalah hak anda sebagai ahli,” katanya.

Tegas Mohd Redzuan:
“Saya ingin menasihatkan kepada semua ahli politik di negara ini untuk sama-sama menghayati titah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong iaitu “jangan mengheret negara sekali lagi ke kancah politik yang tidak menentu ketika rakyat jelata masih berhadapan dengan pelbagai masalah dan masa depan yang sukar akibat pandemik COVID-19.” – SM

(Visited 87 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button