Negeri

Bila Tanjung Bruas Port nak bayar pampasan kami? – Nelayan

MELAKA 9 Feb. – Kemelut masalah 300 nelayan dari Pantai Kundor dengan Tanjung Bruas Port yang mengendalikan Pelabuhan Tanjung Bruas dekat sini terus berada dalam dilema.

Janji manis Tanjung Bruas Port untuk membayar pampasan kepada nelayan daripada lima pengkalan sekitar
Pantai Puteri hingga ke Klebang tidak ditunaikan sejak Mac tahun lalu.

Pihak terbabit sudah berjanji untuk membayar pampasan ekoran kira-kira 300 nelayan terkesan akibat penyambungan jeti pelabuhan sepanjang 50 meter.

Masalah tersebut menyebabkan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali campur tangan dan mengarahkan pihak pengurusan Tanjung Bruas Port segera membayar pampasan yang dijanjikan.

Namun satu demi satu perbincangan yang diadakan antara kedua-dua pihak tidak menghadirkan sebarang khabar
menggembirakan berhubung tuntutan pampasan tersebut.

Ada sahaja alasan yang diberikan oleh pihak terbabit seolah-olah cuba untuk mengelak daripada membayar pampasan kepada nelayan yang terkesan.

Terbaru, sesi Taklimat dan Dialog Pembangunan Pelabuhan Tanjong Bruas bersama 23 wakil nelayan dan 10
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pantai Kundor petang semalam, juga gagal melunaskan pampasan yang dijanjikan.

Kini seluruh nelayan kian resah apabila pada taklimat tersebut juga pihak terbabit memaklumkan mereka akan mengemukakan permohonan untuk penyambungan pelabuhan sepanjang 750 meter lagi.

Sudah pasti penyambungan tambahan jeti pelabuhan itu akan mengecilkan lagi ruang nelayan untuk memukat, memasang jaring atau merawai.

Bagi Ketua Komuniti Nelayan Tanjung Kling, Aziz Japar berkata, sikap acuh tidak acuh Tanjung Bruas Port hingga kini tidak menunai janji untuk membayar pampasan benar-benar mengecewakan seluruh nelayan di lapan
pengkalan terbabit.

“Janji tidak ditunai dan tidak tahu apa masalah mereka (Tanjung Bruas Port) sampai susah nak bayar pampasan kepada kami.

“Sudah hampir dekat setahun pampasan tidak diterima sedangkan penyambungan pelabuhan sepanjang 50 meter sudah siap dibina dan terbaru mereka nak sambung lagi sehingga 750 meter.

“Apa kesudahan nasib kami yang tidak terbela. Semua pihak bertanggungjawab seperti tutup mata tidak peduli. Semua pihak masing-masing menunding jari pihak itulah, pihak inilah. Semua macam tak ambil kisah masalah kami,” ujarnya ketika ditemui hari ini.

Kata Aziz, pihak Tanjung Bruas Port bila diajukan soalan mengenai pampasan pada sesi Taklimat dan Dialog itu pula memberitahu untuk mengadakan rundingan lain.

“Ini yang saya hairan tahun lalu setuju bayar pampasan bila kita tuntut semula mereka nak berbincang lagi. Kecewa betul kami seluruh nelayan,” ujarnya.

Sementara itu Pengerusi JPKK Tanjong Kling, Khairulazni Baharuddin berkata, dia hairan mengapa susah sangat pihak terbabit untuk membayar pampasan kepada nelayan yang terkesan akibat penyambungan jeti
sepanjang 50 meter.

Menurutnya, setiap kali pertemuan diadakan, apabila diajukan soalan berhubung bayaran pampasan pihak terbabit mengelak daripada menjawab soalan tersebut.

“Pada dialog tersebut, saya bangkitkan hal bayaran pampasan namun jawapan daripada Tanjung Bruas Port untuk mengadakan rundingan lagi sangat mengecewakan wakil nelayan yang hadir,” ujarnya.

(Visited 368 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button