Ekonomi

Raja Puan Muda Perlis doakan usahawan sosial wanita terus berjaya

Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil mendoakan para wanita di Malaysia supaya terus maju dalam bidang keusahawanan sosial agar dapat menjana ekonomi negara yang kekal teguh dan perkasa di mata dunia.

Menurut baginda, ‘Sesungguhnya bidang keusahawanan merupakan satu sektor yang penting dalam membantu menjana ekonomi negara. Keusahawanan hari ini bukanlah satu bidang yang hanya boleh diceburi oleh kaum lelaki sahaja, malah kaum wanita turut mencipta nama dalam memperkasakan ekosistem ini. Justeru, sesebuah negara yang ingin maju dari pelbagai aspek, perlulah memantapkan bidang keusahawanan dalam kalangan wanita juga’.

Tambah Tuanku Hajah Lailatul Shahreen, ‘Kebolehan serta kesungguhan kaum wanita yang bijak menguruskan keluarga dan kerjaya khususnya sebagai usahawan amatlah membanggakan serta harus dikekalkan. Atas sebab inilah, Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) komited menyokong usaha-usaha bagi membuka mata semua untuk memperkasakan lagi usahawan wanita’.

Demikian titah Raja Puan Muda yang juga merangkap Tuanku Pengerusi YTF ketika berkenan merasmikan majlis ”Penutupan Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) – Edisi Keusahawanan Sosial” pada petang semalam.

Webinar ini dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia (KUSKOP) melalui Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) dan dikuasakan oleh Yayasan Tuanku Fauziah (YTF).

Terang baginda, ‘Kita perlu akui bahawa skop keusahawanan sosial adalah meluas dan merentasi industri seperti pendidikan, sosial dan pembangunan belia. Ini menunjukkan lebih banyak peluang keusahawanan sosial yang boleh diceburi wanita dan pelbagai usaha perlu dilipatgandakan demi memantapkan ekosistem keusahawanan negara’.

Tuanku Hajah Lailatul Shahreen turut menitahkan ucapan syabas dan tahniah kepada mereka yang berjaya membantu menyelesaikan isu sosial melalui perniagaan masing-masing.

Foto ; Ihsan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF)

(Visited 271 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button