
“Saya Terkedu, Tak Sangka Itu Aidilfitri Terakhir” – Zoey Kehilangan Sepupu Dalam Nahas Bas
PELAKON dan usahawan terkenal, Zoey Rahman berkongsi detik hiba apabila menerima khabar duka tentang pemergian sepupunya, Fakhrul Arif Rosli yang merupakan salah seorang mangsa dalam tragedi kemalangan bas di Gerik, Perak.
Fakhrul, pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), antara 15 penumpang yang terkorban dalam nahas yang berlaku di Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding, ketika mereka dalam perjalanan pulang ke kampus selepas cuti Hari Raya Aidiladha.
Zoey berkata beliau dimaklumkan tentang kejadian itu melalui kumpulan WhatsApp keluarga pada awal pagi. Pada mulanya, keluarga hanya menerima maklumat terdapat pelajar UPSI terlibat dalam kemalangan. Tidak lama kemudian, mereka disahkan bahawa Fakhrul adalah antara yang maut di lokasi kejadian.
“Arwah seorang yang sangat pendiam, baik hati dan sangat bijak. Kali terakhir kami berjumpa waktu Aidilfitri, dan tak sangka itu momen terakhir,” katanya dengan nada sebak.
Lebih memilukan, menurut Zoey, arwah bercita-cita mahu menyambung pengajian ke luar negara selepas tamat pengajian di UPSI. Namun hasrat itu kini hanya tinggal kenangan apabila takdir menentukan arwah “menyambung perjalanan” ke negeri abadi.
Zoey turut berkongsi bahawa ibu arwah masih dalam keadaan terkejut dan belum mampu menerima kenyataan. Proses bedah siasat masih berjalan sebelum jenazah dapat dibawa pulang ke kampung halaman untuk dikebumikan.
Dalam masa yang sama, Zoey menyeru pihak berwajib agar mengambil langkah tegas dalam memastikan keselamatan pelajar dan penumpang bas awam, agar tragedi seumpama ini tidak lagi berulang.
“Inilah yang dinamakan ajal. Tapi kalau langkah keselamatan diambil lebih serius, mungkin tragedi ini dapat dielakkan. Saya harap ada tindakan lanjut,” luahnya.
Kemalangan ini nyata menggoncang seluruh negara, khususnya keluarga mangsa dan warga UPSI. Semoga semua yang terkorban ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan keluarga yang ditinggalkan terus diberi kekuatan.