Politik

Saya tawarkan kerjasama politik, bukan gabungan baharu – Muhyiddin

Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan beliau mahu membentuk gagasan baharu, sebaliknya lebih kepada kerjasama parti-parti politik bagi mengelakkan pertembungan semasa sendiri semasa pilihan raya kelak.

Presiden Bersatu itu berkata, beberapa hari lalu timbul tuduhan bahawa beliau memberitahu pemimpin sebuah parti politik bahawa beliau telah mendapat sokongan majoriti ahli- ahli Parlimen untuk dilantik semula sebagai Perdana Menteri.

“Saya ingin tegaskan bahawa saya tidak pernah memberitahu atau mengesahkan kepada sesiapa bahawa saya telah mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen. Tuduhan tersebut adalah tidak benar.

“Apa yang dibincangkan dalam siri pertemuan saya dengan beberapa pimpinan parti-parti politik selain BN adalah untuk merintis persefahaman bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

”Perkara ini dibincangkan secara tidak rasmi apabila terdapat beberapa ahli politik dari parti-parti pembangkang yang menemui saya selepas pilihan raya negeri Johor. Rata-rata berpendapat cara yang terbaik untuk menghadapi PRU-15 ialah dengan mengusahakan formula satu lawan satu menentang BN,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Ini kerana kemenangan BN dalam PRN Melaka dan Johor adalah semata- mata kerana undi parti-parti selain BN berpecah. BN tidak mendapat sokongan majoriti rakyat malah sokongan kepada parti itu tidak bertambah.

“Susulan itu, saya mengambil inisiatif untuk berhubung dengan pimpinan parti-parti selain BN bagi berkongsi pandangan mengenai formula satu lawan satu. Inisiatif ini saya ambil setelah mendapat persetujuan Biro Politik BERSATU dan Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU. Saya tidak bertindak secara bersendirian tetapi mendapat mandat daripada parti,” katanya.

Formula satu lawan satu yang dikemukakan oleh BERSATU, katanya adalah bersifat kerjasama atau persefahaman pilihan raya (electoral pact) yang tidak melibatkan pembentukan satu gabungan baharu parti-parti politik. Tujuan persefahaman ini adalah untuk mengelakkan pertembungan banyak penjuru dalam pilihan raya yang hanya menguntungkan BN sepertimana yang berlaku dalam PRN Melaka dan Johor.

Electoral pact ini mesti diasaskan kepada satu agenda bersama (common agenda) untuk memastikan Malaysia tidak kembali dikuasai oleh kumpulan kleptokrat yang pada masa ini menguasai parti BN. Saya percaya majoriti rakyat menolak kleptokrasi dan suatu usaha mesti dilakukan untuk menghalang BN daripada kembali berkuasa sepenuhnya di negara ini.

“Dalam siri perbincangan saya dengan pimpinan parti-parti politik selain BN, saya mengambil maklum tentang pendirian setiap parti berhubung cadangan ini. Saya akur masing-masing mempunyai pandangan tertentu mengenai beberapa perkara yang berkaitan dengan cadangan ini.

”Justeru, saya mengambil sikap yang terbuka. Ini adalah sebahagian daripada proses perundingan antara parti yang berlangsung secara tidak rasmi. Pintu rundingan BERSATU sentiasa terbuka kepada parti-parti selain BN untuk mencapai kata sepakat mengenai formula yang terbaik bagi menghadapi PRU-15,” katanya.

(Visited 250 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button