
“‘Saya Tak Sayang Daddy Lagi’ – luahan anak Fattah cetus perhatian netizen
ANAK kepada pasangan selebriti terkenal, Nur Fatima Aisyah, baru-baru ini menjadi perhatian ramai selepas menyuarakan rasa tidak mahu berjumpa dengan bapanya, aktor Fattah Amin, dan menyatakan bahawa dia “tidak sayang daddy lagi”.
Momen ini tular menerusi satu hantaran di TikTok oleh pengguna syuhadaalis, yang memuat naik tangkap layar Fazura sedang bersiaran langsung bersama Fatima di platform tersebut. Dalam video itu, Fazura membaca salah satu komen daripada penonton yang bertanya sebab Fatima menangis sebelum ini.
Fatima kemudian memberi jawapan mengejutkan, menyatakan keengganannya bertemu dengan Fattah sambil berkata:
“Saya tak nak daddy, saya dah tak sayang daddy lagi,” katanya sambil menggelengkan kepala.
Fazura, yang kelihatan terkejut, bertanya mengapa anaknya berasa sedemikian. Dia cuba meyakinkan Fatima bahawa dia tetap menyayangi bapanya, namun Fatima hanya memberikan gelengan kepala sambil mengulang perkataan “tidak”. Fazura kemudiannya menegur anaknya dengan lembut, mengingatkan bahawa dia tidak sepatutnya berkata begitu, sebelum meneruskan siaran langsung tersebut.
“Fatima tak boleh cakap macam tu,” tegur Fazura.
Untuk rekod, Fattah Amin dan Fazura sah bercerai dengan talak satu pada 6 Oktober 2024 selepas mahkamah meluluskan permohonan cerai yang difailkan oleh Fazura. Fattah turut bersetuju memberikan hak penjagaan penuh Nur Fatima Aisyah kepada Fazura, namun beliau diberikan hak lawatan sebanyak dua kali sebulan untuk bermalam dan tiga kali seminggu untuk lawatan harian.
Di ruangan komen TikTok, ramai netizen menyuarakan pandangan kurang senang terhadap tindakan Fazura yang bertanya hal sensitif itu semasa siaran langsung, seolah-olah ia disengajakan.
Artikle Berkaitan:>
Usanita terbit drama di TikTok, pilih Fattah dan Sophia sebagai hero dan heroin