Rencah Hidup

“‘Saya Tak Sangka’ – Vivy Yusof Umum Hidap Penyakit SLE”

USAHAWAN dan pempengaruh terkenal, Datin Vivy Yusof, mengejutkan ramai apabila mendedahkan dirinya menghidap penyakit autoimun Systemic Lupus Erythematosus (SLE) menerusi newsletter peribadi beliau, Sincerely Vivy.

Dalam perkongsian emel tersebut, Vivy menyatakan rasa terkejut apabila didiagnosis dengan penyakit berkenaan dan tidak menyangka akan menjadi salah seorang pesakit lupus. Beliau turut berkongsi kebimbangan terhadap masa depan serta mengenang nasib rakan yang turut menghidap lupus dan kini bergantung kepada kerusi roda.

“Saya belum bersedia untuk bercakap mengenainya di media sosial secara terbuka, tetapi saya percaya pengikut setia Sincerely Vivy layak mengetahui cerita sebenar,” katanya dalam emel tersebut.

Pendedahan berani itu mendapat perhatian luas di media sosial, di mana rata-rata netizen meluahkan rasa simpati dan menitipkan doa agar Vivy terus kuat menghadapi ujian kesihatan ini.

Namun begitu, tidak kurang juga yang mengaitkan pengakuan Vivy dengan kontroversi terdahulu membabitkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap kerugian pelaburan FashionValet, syarikat yang diasaskan beliau bersama suami, Datuk Fadzarudin Shah Anuar. Kontroversi itu membabitkan jumlah pelaburan sebanyak RM43.9 juta daripada dua syarikat berkaitan kerajaan, Khazanah Nasional dan Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Sebagai rekod, pasangan itu telah meletakkan jawatan daripada pengurusan FashionValet susulan tekanan berkaitan isu tersebut.

Walaupun berdepan pelbagai cabaran, Vivy terus menampilkan sisi peribadi yang lebih jujur dan terbuka melalui platform Sincerely Vivy, sekali gus memberikan inspirasi kepada ramai dengan keberaniannya berkongsi kisah sebenar di sebalik figura awam yang sering dilihat glamor dan berjaya.

Penyakit SLE merupakan gangguan autoimun kronik yang boleh menyerang pelbagai organ dalam tubuh seperti kulit, sendi, buah pinggang dan sistem saraf. Rawatan awal dan berterusan amat penting bagi memastikan pesakit dapat menjalani kehidupan normal seperti biasa.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button