Hiburan

Saya tak pernah kesal tinggalkan kerjaya di Indonesia – Tya Ariffin

MENINGGALKAN kerjaya nyanyian ketika dirinya diberi perhatian di Indonesia semata-mata untuk berkahwin dengan jejaka dari Malaysia.

Penyanyi, Tya Arifin yang juga isteri kepada Asyraf Khalid ini memberitahu yang dia tidak pernah kesal dengan jalan yang dipilihnya meski pun itu adalah satu keputusan yang sukar.

“Dalam hidup ini, kita seringkali berdepan dengan pilihan dan pengorbanan. Saya sendiri tidak pernah menyesali takdir berkahwin dengan Asyraf dan berhijrah ke Malaysia saat nama sedang mekar di tanah kelahiran.

“Bukan keputusan mudah  sebenarnya untuk saya meninggalkan keluarga dan kerjaya di Indonesia.  Namun saya bulatkan hati dan percaya cinta yang teguh itu menjadi azimat berharga membawa bahagia berterusan,” katanya.

Keputusan itu juga menurut Tya diluahkan menerusi lagu terbaharunya yang berudul Bagaikan Mutiara.

Menariknya, ciptaan Ahmad Jeffny dan penyanyi, Yuka kharisma itu turut mendapat sentuhan daripada suaminya, Asyraf Khalid yang menulis lirik lagu tersebut..

Jelas Tya, single pertamanya itu bagai sebuah bingkisan bermakna yang menghimpunkan pahit manis dalam paksi hidup.

“Ia seperti sebuah kembara seorang wanita yang mencari hala tuju dalam hidupnya. Ia termasuk mencari jati diri.  Dalam perjalanan itu, dipertemukan dengan cinta hati.

“Lumrah dalam sebuah bahtera kehidupan itu pasti bersilih ganti suka duka sebelum mencapai kejayaan, matlamat dan impian diidamkan.

“Simbolik perkataan mutiara itu sendiri yang sentiasa bersinar di lautan. Ia tetap berharga nilainya sekali gus mencerminkan segala yang positif seperti kebijaksanaan, keteguhan hati, kemurnian, kekebalan dan kesetiaan,” katanya.

Jelas Tya lagi, single berkenaan juga ironinya memperkasakan golongan wanita dalam pelbagai sudut pandang.

“Wanita itu tak kira apa juga statusnya, dia juga kena kuat.  Tidak boleh sesekali lemah. Kuat itu juga bukan daripada segi fizikal, namun juga minda dan pembawakan diri.

“Saya sendiri berubah status dari gadis bertukar sebagai isteri dan ibu. Menjadi ibu kepada dua cahaya mata tidak pernah membataskan saya mencari titik kesempurnaan dalam hidup.

“Saya jadi lebih optimis dan bersemangat apabila perniagaan yang diusahakan dapat membantu mengubah nasib orang lain,” katanya yang mula berhijab sekitar awal tahun ini.

Lagu dan video muzik Bagaikan Mutiara telah dilancarkan pada 4 Disember lalu dan boleh distrim di platform digital terpilih. -SM

(Visited 459 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button