
“Saya Tak Perlu Rendahkan Diri” – TMJ Nafi Terlibat Isu Faisal Halim
PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menegaskan bahawa baginda serta kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak akan melibatkan diri dalam sebarang tindakan yang bersifat tidak bermaruah berhubung isu melibatkan pemain kebangsaan, Faisal Halim.
Dalam satu kenyataan di Facebook rasmi HRH Crown Prince of Johor, Tunku Ismail memaklumkan bahawa baginda menyedari wujud cubaan sesetengah pihak mengaitkan namanya dengan pelbagai insiden jenayah, termasuk serangan terhadap Faisal baru-baru ini.
“Mengenai kes Faisal Halim, timbul pelbagai desas-desus dan tohmahan yang cuba menyeret nama saya ke dalam perkara tersebut. Izinkan saya tegaskan – saya dan JDT tidak akan sesekali merendahkan martabat kami dengan terlibat dalam hal sebegitu,” titah baginda.
Menurut Tunku Ismail, sebagai seorang bekas anggota tentera, baginda tidak akan bersembunyi di sebalik tindakan pengecut sekiranya mahu menyatakan sesuatu atau bertindak.
Baginda turut menafikan penglibatan dalam satu lagi insiden membabitkan pergaduhan di sebuah konsert tempatan yang dikaitkan dengan kumpulan skinhead.
“Seperti biasa, ada yang tidak bertanggungjawab cuba kaitkan saya dalam kejadian itu. Konsert punk? Adakah saya kelihatan seperti orang yang menyertai ‘gig underground’ dan melakukan ‘headbanging’?” sindir baginda.
Tunku Ismail juga menyentuh mengenai pengaruh yang dimilikinya dalam pelbagai bidang termasuk sukan dan politik, yang dilihat sesetengah pihak sebagai satu ancaman.
“Kalau ada yang tidak senang dengan pengaruh saya, itu berita buruk untuk mereka. Saya baru berusia 41 tahun dan pengaruh, pengalaman, kuasa serta kedudukan saya akan terus berkembang. Ia bukan satu pilihan, tapi satu ketetapan,” titahnya lagi.
Baginda turut berpesan kepada mereka yang tidak berpuas hati supaya sama ada menerima kenyataan atau berusaha menamatkan pengaruh baginda secara total.