Rencah Hidup

“‘Saya Tak Malukan Orang’ – Akaun TikTok Kieda Crepe Disekat Lepas Tegur Pelanggan”

DUA akaun TikTok milik usahawan terkenal Kieda Crepe telah disekat oleh pihak platform susulan penularan sebuah video konfrontasi membabitkan dirinya dan seorang pelanggan.

Kieda atau nama sebenarnya Nur Khalieda Mohd Khalid, berkongsi video pertemuannya dengan seorang wanita bernama Zamilah yang dikatakan pernah memuat naik status WhatsApp berunsur negatif mengenai produknya. Dalam video tersebut, Kieda dilihat memulangkan semula wang pembelian sebanyak RM25 sambil menegur tindakan wanita berkenaan yang dianggap mencalarkan imej perniagaannya.

Video yang dimuat naik di kedua-dua akaunnya — @kiedacrepepenang dan @kiedacrepepenang2 — telah mencetuskan pelbagai reaksi daripada netizen. Ada yang menyokong tindakan Kieda mempertahankan jenama dan reputasinya, namun tidak kurang juga yang mengecam pendekatan terbukanya yang dianggap tidak beretika.

Akibat penularan video itu, kedua-dua akaunnya disekat secara serentak dipercayai akibat laporan beramai-ramai yang dibuat pengguna lain. Menurut Garis Panduan Komuniti TikTok, sebarang kandungan yang bersifat buli, gangguan atau memalukan individu secara terbuka boleh dianggap melanggar polisi platform berkenaan.

Kieda meluahkan rasa kecewanya melalui satu hantaran di Facebook, menyatakan bahawa sekatan tersebut berlaku hanya 16 hari sebelum pelancaran jelajah perniagaannya yang dinamakan “Big Tour”.

“Bayangkan berapa besar impaknya kepada bisnes saya. Saya minta doa semua agar akaun saya dipulihkan. Terima kasih pada yang masih menyokong,” tulisnya.

Setakat ini, pihak TikTok belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai tindakan sekatan berkenaan.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button