Nasionalpilihan

Menara Taming Sari beroperasi semula hari ini

Menara Taming Sari (MTS) di Bandar Hilir, Melaka kembali beroperasi bseperti biasa mulai hari ini selepas kerosakannya berjaya dibaikpulih sehingga menyebabkan 36 pengunjung terkandas petang semalam.

MTS telah dibenarkan beroperasi semula setelah dibaiki, diuji dan disahkan selamat oleh orang yang kompeten bertauliah serta bertanggungjawab mengendalikan menara itu.

Menurut kenyataan daripada pihak pengurusan MTS, kerosakan menara berputar yang dinaiki 36 pengunjung berlaku pada ketinggian 50 meter.

Katanya, kerosakan berpunca apabila sebahagian sumber bekalan elektrik di sistem utama menara berkenaan terputus secara tiba-tiba.

“Ia mengakibatkan sistem utama terganggu dan perlu menukar kepada sistem kecemasan bagi menurunkan penumpang.

“Pegawai khidmat pelanggan dan juruteknik yang bertugas telah berjaya menurunkan penumpang mengikut prosedur operasi standard (SOP) kecemasan yang ditetapkan.

“Pelanggan juga berjaya ditenangkan semasa proses membawa kabin turun dan setelah kabin diturunkan pelanggan yang terlibat telah diberi air minuman dan bantuan lain,” katanya hari ini.

Menurut kenyataan itu, proses ‘refund’ tiket telah dilakukan kepada semua pelanggan yang terlibat.

Siasatan awal pihak teknikal mendapati salah satu relay power supply untuk sistem PLC telah mengalami kerosakan menyebabkan sistem utama automatic mode gagal berfungsi.

Sehubungan itu MTS mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) kerana turut memantau kerja menyelamat dilakukan.

Dalam kejadian pukul 5.30 petang semalam, 36 pengunjung menara itu berdepan detik cemas apabila terperangkap selama 30 minit di dalam menara berputar itu pada ketinggian 50 meter.

Kesemua 36 mangsa termasuk lapan kanak-kanak dan seorang orang kurang upaya (OKU) ketika itu sedang bergerak turun dari menara ikonik berkenaan. – SM

(Visited 57 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button